Pulau Pinang mohon 2 projek utama dimasukkan dalam Belanjawan 2025
GEORGE TOWN - Pulau Pinang berharap permohonan dua projek besar di negeri ini dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober nanti.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dua projek itu adalah Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua dan 'Penang Silicon Design @5km '.
Menurutnya, 'Penang Silicon Design @5km ' merangkumi empat projek utama seperti Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu dan Digital, Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang serta Ruang Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.
"Kita ada banyak senarai projek tetapi ada dua yang paling saya harapkan ia dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 nanti. Di antaranya yang paling besar adalah Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang bernilai RM1.8 bilion.
"Jadi kita berharap, apa yang kita sampaikan dalam banyak siri perbincangan dapat dipertimbangkan. Terkini kita menerima maklum balas, mereka sedang melihat beberapa opsyen sebab opsyen ada implikasi kos.
"Sejauh mana opsyen itu, yang mana akan dipilih, mungkin peruntukkan yang akan menentukan opsyen mana yang akan dipilih. Bagaimanapun kerajaan negeri berharap, opsyen yang dipilih perlu berkesan untuk menyuraikan trafik, bukan sekadar paling murah dari segi peruntukkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Timur Laut dan Barat Daya di Dewan Sri Pinang di sini pada Khamis.
Mengenai 'Penang Silicon Design @5km ' pula, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memohon RM60 juta untuk geran padanan bagi projek tersebut.
"Sebenarnya tidak perlu geran padanan pun kerana ia berjumlah RM120 juta sahaja. Bukan satu angka yang besar bagi kerajaan Persekutuan.
"Jadi ini lah yang sering dibincangkan ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz," katanya.
Anwar dijangka membentangkan Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pada 18 Oktober ini di Dewan Rakyat.
Belanjawan 2025 akan memberi keutamaan kepada sektor ekonomi dengan meneruskan agenda reformasi struktur dalam negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!