GISBH di Pulau Pinang tidak pernah bayar zakat, mohon sijil halal - ZPP

Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid
Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid
A
A
A

GEORGE TOWN - GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak pernah membayar zakat kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) selama mereka dipercayai menjalankan perniagaan di negeri ini sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi ZPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, selain tidak membayar zakat, GISBH juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk perniagaan mereka itu.

"Selama lebih 10 tahun menjalankan perniagaan di sini, mereka tidak pernah membayar zakat. Mungkin ada yang bayar sebagai individu tetapi syarikat, tiada. Tak bayar langsung.

"Sama juga seperti negeri lain, syarikat mereka tidak membayar zakat kepada ZPP. Selain itu, mereka juga tidak pernah memohon sijil halal daripada JHEAINPP," katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Daerah Timur Laut dan Barat Daya di Dewan Sri Pinang di sini pada Khamis.

Sebelum ini, empat premis milik GISBH di negeri ini diserbu dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada 21 September lalu.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan JHEAIPP bersama polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Empat premis itu ialah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal serta tiga di Bukit Mertajam iaitu Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang, Kedai Kek Dan Roti Ikhwan dan Ikhwan BP Mart No 17 Tingkat 1.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tiada tangkapan setakat ini sebaliknya hanya siasatan telah dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Tiada tangkapan dan hanya siasatan dijalankan. Bagaimanapun, terdapat 200 anak ahli-ahli GISBH dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan negeri ini telah diselamatkan dan kini diletakkan di Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal bermula 1 Oktober lalu.

"Kesemua mereka berusia lingkungan tiga hingga 19 tahun. Kita wujudkan satu pasukan khas untuk menyelia dan menjaga anak-anak tersebut. Mereka ini di dalam proses pembelajaran yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang," katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, kesemua mereka diberi pembelajaran berkaitan psikologi untuk menaikkan semangat mereka selain disediakan kelas bimbingan agama.

Mengulas mengenai fatwa terhadap ajaran dalam GISBH, Mohamad berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan bersidang untuk menyelaraskan keputusan tersebut.

"Selepas keputusan daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dimaklumkan oleh mufti, saya tak dapat makluman lagi. Oleh itu, selepas keputusan daripada MKI, baru lah akan diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang.

"Di peringkat Pulau Pinang, (fatwa) belum diputuskan lagi, tunggu pengumuman daripada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!