Anwar lakukan lawatan rasmi ke Bangladesh esok

Anwar semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif selepas mesyuarat dua hala di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan, hari ini. Foto Bernama
Anwar semasa sidang media bersama rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif selepas mesyuarat dua hala di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

DHAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Bangladesh esok, atas jemputan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara, Dr Muhammad Yunus.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan pemenang hadiah Nobel, Muhammad Yunus, untuk berbincang dan mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bangladesh, memupuk hubungan persahabatan antara bangsa.

"Perdana Menteri juga dijangka membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Mohammed Shahabuddin sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya," menurut kementerian itu.

Anwar akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Sehingga akhir tahun lepas, terdapat 6,288 pelajar Bangladesh yang mengikuti pelbagai disiplin di institusi pengajian tinggi Malaysia.

Pekerja Bangladesh turut menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi Malaysia sepanjang tahun.

Tahun lepas menyaksikan Bangladesh sebagai rakan dagangan ke-27 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-19 terbesar dan sumber import ke-47 terbesar, menjadikannya rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Tahun lepas juga menyaksikan jumlah perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.7 bilion (AS$2.78 bilion), penurunan 35.5 peratus daripada RM19.69 bilion (AS$4.46 bilion) pada tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun perdagangan berkembang pada separuh pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan 18.1 peratus kepada RM8.27 bilion (AS$1.75 bilion) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Selain itu imbangan perdagangan yang memihak kepada Malaysia menyaksikan peningkatan yang ketara dalam tempoh ini, mencecah RM6.65 bilion (AS$1.39 bilion).

Perdana Menteri ketika ini di Pakisten untuk lawatan negara selama tiga hari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!