Anwar dan rakat sejawat Pakistan adakan pertemuan, bincang isu dua negara
ISLAMABAD - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif mengadakan pertemuan yang membuahkan hasil merangkumi pelbagai isu dua hala di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan di sini hari ini.
Anwar yang tiba di Islamabad malam semalam untuk lawatan negara tiga hari ke Pakistan menyifatkan kunjungannya ke negara Asia Selatan itu sebagai 'amat bermakna' secara peribadi.
"Ia lawatan sangat bermakna ke Pakistan. Kami (delegasi Malaysia dan Pakistan) membincangkan pelbagai isu berkaitan kedua-dua negara termasuk zon ekonomi, isu perdagangan dan pasaran, dan lain-lain," kata beliau pada sidang media bersama Shehbaz selepas pertemuan dua hala itu di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, hasil daripada pertemuan itu, Malaysia secara dasarnya bersetuju mengimport 100,000 tan metrik daging halal dari Pakistan serta beras basmati.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa pengeksport daging halal Pakistan tidak mempunyai masalah mematuhi peraturan halal Malaysia yang ketat bagi mengekalkan kualiti produk daging halal mereka.
Mengenai isu keperluan Malaysia terhadap tenaga kerja mahir terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan semikonduktor, Anwar berharap Pakistan dapat menjadi antara negara yang membekalkan buruh mahir dalam sektor penting itu kepada Malaysia.
Malaysia, kata beliau, juga ingin melihat syarikat penerbangan negara diberikan lebih banyak hak pendaratan di Pakistan bagi memudahkan peningkatan jumlah pelancong, pelajar, perdagangan, perniagaan dan sebagainya antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan pendirian tegas kerajaan Pakistan dalam mengutuk kekejaman dan genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, serta kedegilan Tel Aviv yang memburukkan lagi situasi tegang di Timur Tengah sehingga mencapai tahap kritikal.
Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara bersaudara dengan Pakistan, Shehbaz dalam ucapannya pada sidang media bersama itu berkata pencapaian negara Asia Tenggara itu dalam kemajuan dan bidang ekonomi merupakan satu contoh dan mesti dijadikan model kepada semua negara Islam.
Beliau berharap hubungan dua hala dengan Malaysia yang terjalin sejak 1957 apabila negara mencapai kemerdekaan, akan ditingkatkan ke tahap lebih tinggi.
"Kemajuan Malaysia seharusnya dicontohi oleh semua negara Islam, dari segi menarik pelaburan langsung asing (FDI), menjadi hab untuk industri semikonduktor dan lain-lain," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!