Dakwaan pembelaan bahawa Seksyen 41(A) Akta SPRM sasar Najib tidak berasas - DPP

Najib menghadiri prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini.
Najib menghadiri prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwaan menafikan bahawa Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 diwujudkan semata-mata untuk mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, hujah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa seksyen itu digubal dan dikuatkuasakan pada Oktober 2018 semata-mata untuk menganiaya bekas Perdana Menteri itu adalah tidak berasas.

"Seksyen itu telah dibentangkan kepada Parlimen pada 14 April 2018 oleh bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.

"Pada 14 April 2018, Datuk Seri Najib masih menjadi Perdana Menteri dan Datuk Razali adalah antara ahli Kabinet beliau sendiri," katanya sambil menambah susulan pembentangan pada April 2018, Seksyen 41(A) Akta SPRM kemudian dikuat kuasa pada 1 Oktober 2018.

Beliau berkata, justeru itu, untuk menyatakan bahawa ia hanya digubal selepas Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak tepat.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar kes Najib, kemudian menetapkan 30 Okt ini untuk memutuskan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada kesemua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut didakwa atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di bank serupa antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Artikel Berkaitan:

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!