Majlis pengebumian mangsa bas terbakar dipenuhi bunga, mainan
LAN SAK - Suasana hiba menyelubungi majlis pengebumian mangsa kebakaran bas sekolah di Thailand pada Khamis apabila ibu bapa dilihat meletakkan bunga dan mainan di atas 20 keranda kanak-kanak serta tiga guru tersebut.
Anggota keluarga berpakaian hitam berkumpul di dewan perhimpunan sekolah Wat Khao Phraya Sangkharam di wilayah utara Uthai Thani untuk menenangkan antara satu sama lain sambil mendoakan pemergian anak tersayang.
Setiap jambangan bunga putih menghiasi 23 keranda dengan diletakkan bersama potret kanak-kanak dan guru tersebut sambil dihidangkan makanan dan minuman serta juga trak mainan dan anak patung sebagai simbolik menghiburkan mangsa yang telah meninggal dunia.
Kebanyakan saudara mara masih trauma untuk bercakap dengan wartawan, tetapi seorang nenek dilihat tidak dapat menahan kesedihan melampaunya tampil menceritakan perasaan hibanya.
"Ayah mereka pergi bekerja dan meninggalkan cucu lelaki bersama saya dan dia akan pulang memeluk mereka pada waktu petang. Saya kehilangan kedua-dua mereka sekali gus," katanya kepada penyiar tempatan Amarin TV.
Nattawin Tongyoy, wartawan stesen TV Thairath, kehilangan seorang sepupunya dalam kebakaran itu.
“Saya seorang wartawan, saya tidak pernah terfikir bahawa berita sebegini akan berlaku kepada sepupu saya suatu hari nanti.
"Mereka semua adalah kanak-kanak dan tidak mungkin mereka dapat melarikan diri semasa kebakaran itu," katanya kepada TV Thairath.
Dalam majlis itu, Sami Buddha akan memulakan upacara pengebumian rasmi pada petang Khamis dengan dihadiri Ketua Majlis Privy Thailand yang akan mewakili Raja Maha Vajiralongkorn.
Upacara sembahyang akan diteruskan sehingga pembakaran mayat dijangka dilaksanakan pada hari Selasa depan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!