Sabari dicampak dalam sungai, dibunuh kerana cam wajah suspek

Jambatan Kampung Empa lokasi Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap oleh suspek. Gambar kanan: Sabari Baharom
Jambatan Kampung Empa lokasi Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap oleh suspek. Gambar kanan: Sabari Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Wajah suspek yang dicam oleh Sabari Baharom, 62, ketika disamun menjadi motif pembunuhan pesara Felcra itu pada awal September lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat terhadap dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu mengaku mengikat tangan dan menutup mulut Sabari dengan pita pelekat sebelum dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu pada 4 September lalu bagi melupuskan bukti.

“Motif pembunuhan Sabari yang hilang dari rumahnya di Baling selepas soal siasat ke atas dua lelaki yang ditahan, mengaku niat awal mereka ingin menyamun.

"Namun selepas wajah suspek dicam, mereka terus mengambil tindakan mengikat tangan dan menutup mulut dengan pita pelekat lalu membawa mangsa dan mencampak ke dalam sungai bagi melupuskan bukti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis

Menurutnya, operasi pencarian jasad Sabari juga dihentikan pada petang Rabu selepas tiga hari polis gagal menemui sebarang petunjuk.

"Siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitkan mangsa dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh," katanya.

Sebelum ini anak-anak Sabari membuat hebahan di media sosial mengenai kehilangan bapa mereka selepas gagal dihubungi.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Kereta terbabit kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!