Pangkalan tentera utama Israel binasa, lebih 20 jet pejuang musnah
TEL AVIV - Imej satelit menunjukkan kesan kemusnahan hangar pesawat di pangkalan utama tentera udara Israel selepas ia dibedil Iran di bawah Operasi Janji Benar 2.0 pada malam Selasa.
Laporan agensi berita AP sehari selepas itu mendedahkan lubang besar pada bumbung beberapa bangunan berhampiran landasan utama di kemudahan Nevatim berkenaan.
Nevatim menempatkan beberapa jenis pesawat paling canggih termasuk jet pejuang, F-35 Lightning II buatan Amerika Syarikat (AS) dan dilengkapi empat landasan di kawasan meliputi kira-kira 50 kilometer persegi dan terletak di gurun Negev.
Kira-kira tujuh rakaman video berbeza memaparkan impak di kemudahan itu akibat dibedil 20 hingga 30 misil balisitik Teheran.
Beberapa sumber mendakwa bedilan itu turut memusnahkan lebih 20 jet pejuang.
Menerusi kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengakui beberapa pangkalan tentera udara mereka mengalami kemusnahan dan kerosakan akibat hujan misil tersebut.
Zionis bagaimanapun cuba menyembunyikan keadaan sebenar apabila menyatakan kononnya tiada jet pejuang, dron, pesawat atau infrastruktur kritikal mereka binasa dan tidak mengancam operasi unit udara mereka.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Iran, Brigadier Jeneral, Aziz Nasirzadeh mengesahkan operasi tersebut yang melibatkan hampir 200 peluru berpandu balistik canggih jarak jauh termasuk Fattah-2 tepat mengenai lebih 90 sasaran musuh termasuk ibu pejabat risikan Mossad.
"Operasi yang diselaraskan bersama Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) ini mematuhi undang-undang antarabangsa. Tiada lokasi orang awam jadi sasaran kami," katanya setelah sekutu Tel Aviv mengecam serangan balas bagi 'menghukum' jenayah kejam Zionis di Lubnan dan Gaza.
Bagi menutup malu kerana kelemahan sistem pertahanan udara, Iron Dome yang dibanggakan entiti Zionis selama ini, ia bertindak menutup kemudahan tentera dan melarang media melaporkan tentang impak serangan Iran.
Portal berita, Middle East Eye mendakwa tindakan tapisan sedemikian itu telah menyebabkan mereka sukar menilai kesan kemusnahan sebenar.
"Israel menutup beberapa zon tentera serta-merta dan tidak membenarkan sebarang laporan tentang lokasi yang menjadi sasaran peluru berpandu Iran," jelas laporan itu.
Zionis mendakwa kononnya beberapa misil itu dipintas dan ditembak jatuh, namun rakaman video yang menjadi tular di media sosial menunjukan sebahagian besar projektil berjaya menembusi Iron Dome dan mengenai sasaran di Tel Aviv. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!