Keluar kata kesat terhadap polis trafik, lelaki direman tiga hari
GEORGE TOWN - Akibat mengeluarkan kata kesat terhadap seorang pegawai polis trafik, seorang lelaki menerima padah apabila ditahan di sebuah rumah di Taman Paya Terubong, Air Itam di sini pada malam, Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, lelaki berusia 25 tahun itu direman tiga hari sehingga 5 Oktober ini untuk membantu siasatan.
Menurutnya, lelaki warga tempatan itu ditahan selepas pegawai polis trafik berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada hari yang sama.
"Satu klip video berdurasi 3 minit 28 saat memaparkan seorang penunggang motosikal sedang memarahi seorang pegawai polis trafik dengan menggunakan kata kesat telah tular di aplikasi Whatsapp pada jam 7.50 petang, Khamis.
"Lelaki itu berbuat demikian kerana tidak berpuas hati kerana dikenakan tindakan saman oleh pegawai polis trafik tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, pegawai polis trafik tersebut telah mengeluarkan saman tersebut di atas kesalahan jalan semasa lampu isyarat merah.
"Siasatan mendapati, kejadian itu berlaku pada jam 6.45 petang, Rabu berhampiran Lebuhraya Thean Teik, Air Itam di sini. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955.
"Kertas siasatan kes ini akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan bersikap berhemah di atas jalan raya demi menjamin keselamatan semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!