Cari jalan bantu peminjam selesaikan hutang PTPTN
ISU peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar pinjaman masih belum dapat diselesaikan hingga hari ini.
Malah, dilaporkan ada sebahagian peminjam didapati sudah bergraduasi berpuluh tahun lalu tetapi gagal buat pembayaran walau satu sen pun.
Baru-baru ini Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sikap tidak bertanggungjawab peminjam culas itu mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN kini berada di tahap membimbangkan.
Justeru, beliau menegaskan pihak PTPTN akan mengambil tindakan dan langkah susulan termasuk tindakan undang-undang terhadap 430,000 peminjam yang tidak pernah membayar hutang melibatkan jumlah sebanyak RM6 bilion.
Walaupun PTPTN telah melakukan pelbagai usaha bagi menggalakkan peminjam melunaskan pinjaman ternyata hasilnya ‘masih perlahan’.
Pelbagai sebab dan alasan diberikan, antaranya kerana berdepan kos sara hidup tinggi, sukar mendapatkan pekerjaan dan gaji tidak setimpal.
Kita juga harus akui ada golongan miskin bandar dan miskin tegar. Selalunya kelompok itu sukar untuk membayar kerana menanggung banyak beban seperti mula menyara keluarga selepas tamat belajar.
Selain tindakan undang-undang kepada peminjam ingkar bayar pinjaman, PTPTN juga boleh mencontohi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang membantu individu menyelesaikan tunggakan hutang termasuk pinjaman.
Agensi itu dilaporkan telah membantu lebih 56,000 isi rumah atau individu keluar daripada masalah tunggakan hutang keseluruhan berjumlah RM3 bilion selepas mendapat khidmat nasihat kewangan dan bantuan penstrukturan semula pinjaman melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) sejak 18 tahun lalu.
Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK, Rohanizam Talib, mereka adalah sebahagian 1.3 juta individu atau isi rumah yang telah menerima khidmat nasihat secara percuma sejak penubuhan AKPK oleh Bank Negara Malaysia pada April 2006.
Janganlah pula kita menghukum peminjam yang tidak membayar PTPTN secara pukul rata walaupun memang ada tidak tahu malu dan culas membayar pinjaman tetapi mungkin ada peminjam yang bukan tergolong dalam kelompok itu.
Diharap usaha mendapatkan semula hutang PTPTN dengan cara undang-undang di samping pelbagai pendekatan lain, kadar pembayaran balik pinjaman akan meningkat dan dana PTPTN dapat terus dimanfaatkan oleh generasi pelajar seterusnya yang memerlukan sokongan kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!