Tiada yang terpinggir masuk universiti

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KISAH seorang penjual buah, Ee Tai Qing sanggup menunggang motosikal dari Sungai Udang, Melaka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah pada Selasa untuk menemani adiknya mendaftar sebagai penuntut baharu di universiti tersebut menyentuh perasaan ramai orang.

Lelaki berusia 27 tahun itu menempuh jarak perjalanan sejauh 613 kilometer untuk menemani adiknya, Ee Tai Zhi, 21, yang menaiki bas dari Melaka ke UUM.

Tai Zhi ditawarkan Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM.

Paling menarik perhatian, Rafida Zaiddin, 19, penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggunakan guni untuk mengisi barang-barangnya sewaktu pendaftaran.

Menurut penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu, barang yang dibawa agak banyak dan menyukarkan pergerakan, menyebabkan bapanya mengambil guni dan memasukkan separuh barangan tersebut ke dalam guni tersebut.

Rafida berkata, syarat kemasukan yang mengehadkan dua beg sahaja sewaktu mendaftar kolej kediaman antara sebab guni digunakan bagi mengisi baldi, bantal dan selimut.

Anak bongsu daripada dua beradik itu tidak menyangka gambar guni diambil oleh senior bagi mengurus kemasukan kolej kediaman menjadi tular.

Kisah Rafida turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menawarkan bantuan bagi meringankan beban kewangan dihadapinya.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina berkata, kisah Rafida dekat di hatinya kerana pada hari yang sama beliau turut menghantar anak sulungnya melanjutkan pengajian ke universiti.

Ujar beliau, kesungguhan Rafida memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa perjuangan pen-didikan manusiawi merupakan kekuatan Malaysia.

“Insya-ALLAH, Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pe-ngajiannya. Semua telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian,” kata Fadhlina.

Dua kisah tersebut membuktikan betapa kerajaan dan pihak universiti di negara ini begitu prihatin dengan nasib serta keperluan pelajar melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

Di media sosial juga kita disajikan dengan wajah-wajah ceria ibu bapa yang memuat naik gambar anak masing-masing mendaftar sebagai mahasiswa baharu di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Di sebalik keceriaan itu pasti ada pelajar daripada keluarga miskin yang berkira-kira untuk menjejakkan kaki ke menara gading kerana kekangan kewangan.

Tambahan pula, ketika ini kos sara hidup tinggi dan pendaftaran penuntut baharu memerlukan perbelanjaan yang banyak, antaranya, kos membeli peralatan belajar, pakaian, pengangkutan ketika mendaftar dan paling utama adalah yuran pendaftaran.

Kegusaran tersebut disambut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang memberi jaminan akan membantu pelajar miskin dan tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Menurutnya, antara bantuan segera adalah menyalurkan wang pendahuluan bagi membolehkan pelajar mendaftar diri sebagai mahasiswa baharu di universiti masing-masing.

“Jangan jadikan masalah wang sebagai alasan untuk tolak tawaran kemasukan ke universiti,” katanya yang turut mengarahkan semua pentadbir universiti agar menerima kemasukan pelajar miskin.

Pada masa sama, pelajar baharu berkenaan boleh memohon bantuan awal Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saranan Zambry telah disambut baik pihak universiti, antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mengambil inisiatif menyampaikan bantuan awal berbentuk wang tunai RM500 dan komputer riba kepada dua pelajar miskin yang berjaya menyambung pelajaran di universiti itu.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga bersedia membantu pelajar baharu yang kurang berkemampuan dalam proses pendaftaran masuk ke universiti berkenaan.

Melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM, pelbagai skim bantuan kewangan serta kebajikan telah disediakan termasuk bantuan sara hidup serta bantuan zakat untuk pelajar yang layak.

Melihat keprihatinan pihak universiti dan kerajaan, mahasiswa di negara ini boleh dianggap bertuah dan diharapkan mampu membawa pulang segulung ijazah kelak, sekali gus dapat membantu keluarga keluar daripada garis kemiskinan.

Diharapkan juga kerajaan dan pihak universiti dapat memantau keperluan mahasiswa baharu agar mereka dapat belajar dengan tenang tanpa perlu risau tentang masalah kewangan sepanjang pengajian.

* Mohd Nasri Jamaludin ialah Editor Pengisian Sinar Online

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!