'Sudah 2024 tetapi masih terperangkap dengan minda 1994'

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Minggu orientasi di institusi pengajian tinggi tidak perlu diadakan terlalu lama dengan pengisian aktiviti yang sia-sia sebaliknya hanya ambil sedikit waktu untuk memperkenal sistem universiti dan pembelajaran kepada pelajar baharu.

Pakar psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria berkata, zaman kini sepatutnya fasilitator berfikir lebih kedepan seiring dengan kecanggihan teknologi dan perkembangan semasa bukannya masih kekal dengan sikap yang boleh dianggap sudah ketinggalan.

"Melintas video kakak dan abang fasilitator terjerit-jerit buat kejutan depan mahasiswa baru waktu minggu orientasi. Dah 2024, orang sibuk dengan kecerdasan buatan (AI), perang geopolitik dunia, ancaman liberalisme, isu tekanan mental tetapi kita masih lagi terperangkap dengan minda 1994.

"Orientasi je mesti kena ada joget, poco-poco, pembangunan pasukan campur lelaki perempuan, ceramah sampai seminggu dan separuh masa peserta tidur dek kepenatan. Saya dulu 2004, daftar di Adelaide University, daftar pagi kemudian petang dah mula kelas.

"Orientasi hanya tentang pembelajaran dan sistem universiti. Yang lain belajar sendiri. Tak ada orientasi hafal nama fasilitator, jalan itik keliling fakulti, nyanyi lagu gemuruh jiwa atau sketsa berkumpulan sebab mereka fokus pembelajaran dewasa," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada masa sama, beliau menegaskan, fasilitator perlu sedar strategi yang digunakan pada masa lalu tidak lagi relevan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Ujarnya, pendedahan sebenar yang sepatutnya dilakukan adalah mengajar generasi muda tentang keutamaan, kematangan dan ketahanan kerana adaptasi adalah kunci dalam membentuk generasi akan datang.

"Anggaplah ini sudut pandang yang membina, kita sama-sama bertanggungjawab mencorakkan generasi. Sebagai pendidik dan pakar psikatri, saya melihat dua-dua sisi.

Artikel Berkaitan:

"Ada antara mereka seronok di fasa universiti dan ada yang berjuang secara emosi. Ada yang kita kena perbaiki dalam sistem pendidikan. Kita semua pemegang taruh. Tak terima tak apa, boleh abaikan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!