Pegawai bank tak mengaku lakukan gangguan seksual
IPOH - Seorang pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita tiga tahun lalu.
Tertuduh, Rosman Jamaluddin, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa menghantar Whatsapp berbaur lucah kepada mangsa berusia 38 tahun dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Perajurit Ipoh Garden East di sini jam 10.52 pagi pada 20 Mei 2021.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama jam 12.08 tengah malam pada 18 Ogos 2021 di lokasi sama.
Perbuatan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.
Bagaimanapun peguam tertuduh, Khairil Azwar Khalil merayu mahkamah agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi dan slip disc selain menanggung seorang isteri, empat anak yang masih belajar serta ibu.
Selain itu, Khairil Azwar turut meminta mahkamah mengeluarkan perintah menghalang kes tersebut dibicarakan di luar mahkamah melalui media sosial sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang membicarakan kes tersebut di media sosial menyebabkan tertuduh berdepan buli siber selain terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri sehingga terpaksa diberikan cuti.
Majistret, S Punitha kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa.
Mahkamah dalam pada itu tidak mengeluarkan sebarang perintah tetapi menasihati pihak pendakwaan dan polis untuk memastikan tidak ada komen-komen yang prejudis terhadap kes tersebut di media sosial.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!