Anak-anak amanah Tuhan

Ibu bapa wajib jaga kemuliaan, kebajikan mereka selain bertanggungjawab sedia pendidikan dan persekitaran yang baik


IBU bapa serta penjaga bertanggungjawab mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak. Foto CANVA
IBU bapa serta penjaga bertanggungjawab mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak. Foto CANVA
A
A
A

UMAT Islam dikejutkan dengan pelbagai laporan media mengenai siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kegiatan jenayah yang dilakukan oleh GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya baru-baru ini.

Pelbagai kesalahan disyaki dilakukan GISBH seperti penderaan pelajar, eksploitasi kanak-kanak, buruh paksa dan kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal serta sekolah Islam di bawah kendalian mereka.

“Mengapa perkara sebegini boleh berlaku? Apakah tujuan mereka sebenarnya?”

Persoalan itu dilontarkan khatib ketika menyampaikan khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertajuk Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak? pada Jumaat lalu.

Menurut JAIS, kesalahan berhubung dengan amalan bertentangan akidah Islam juga turut dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis GISBH.

MENYEDIAKAN persekitaran dan pendidikan yang baik juga merupakan tanggungjawab ibu bapa dan penjaga. Foto CANVA
MENYEDIAKAN persekitaran dan pendidikan yang baik juga merupakan tanggungjawab ibu bapa dan penjaga. Foto CANVA

“Semua perbuatan jenayah dan kesalahan akidah ini mencemar nama baik dan kesucian Islam.

Artikel Berkaitan:

“Malah mereka boleh tergelincir akidah dan batal syahadah apabila melakukan kesalahan akidah ini,” jelasnya.

Banteras sepenuhnya jenayah, pelanggaran syariat

Khatib memberitahu dalam hal ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam Negeri telah bertitah pada 21 September lalu agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu Majlis Agama Islam Selangor, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syarian Selangor bersama PDRM bekerjasama dalam hal ini.

Mereka perlu mengambil langkah tegas menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan semua yang terbabit dengan kesalahan ini diambil tindakan sewajarnya.

“Pada masa sama, Tuanku menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah diarahkan supaya ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi lagi di negeri ini.

“Baginda turut menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal supaya menyemak latar belakang terlebih dahulu,” jelasnya.

Ini penting agar tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan yang tidak berdaftar serta melaksanakan program dan pembelajaran meragukan selain mengelakkan berlakunya pengabaian dan eksploitasi terhadap mereka, ujarnya.

Menjaga kemuliaan, kebajikan anak satu amanah

Khatib turut berpesan bahawa anak-anak adalah amanah dari ALLAH SWT untuk dijaga kemuliaan dan kebajikan mereka.

“Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak.

“Malah mereka bertanggungjawab mewujudkan kehidupan yang baik serta persekitaran yang selamat untuk anak-anak sepanjang masa,” hurainya.

Mimbar menjelaskan, ALLAH SWT memuliakan semua manusia termasuk kanak-kanak dengan mencipta mereka dalam rupa dan bentuk yang terbaik.

“Oleh itu janganlah manusia kecil ini dihina, didera dan dizalimi sedangkan ALLAH SWT memuliakan dan merahmati mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak sebenarnya adalah satu tuntutan dalam Islam.

ANAK-ANAK perlu diberi kasih sayang sepenuhnya dan dididik mengenal agama sejak kecil. Foto CANVA
ANAK-ANAK perlu diberi kasih sayang sepenuhnya dan dididik mengenal agama sejak kecil. Foto CANVA

“Ia berkaitan secara langsung dengan tujuan memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan mereka.

“Kefahaman ajaran Islam ini terhadap maqasid syariah dan hak kanak-kanak hendaklah difahami oleh semua pihak termasuk GISBH,” ujarnya.

Katanya, penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak amat menduka-citakan kerena mereka juga mempunyai hak untuk dimuliakan secara adil dan baik.

“Amat tidak wajar apa yang dilakukan oleh GISBH ini apabila tidak memelihara kanak-kanak dengan baik, malah melakukan kezaliman terhadap mereka seperti menyekat pendidikan kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan pendidikan arus perdana,” katanya.

Kesan jangka panjang, anak-anak penerus kesesatan

Selain itu, ujar khatib, mereka berniat mengeksploitasi kudrat dan tulang empat kerat kanak-kanak ini demi kepentingan kumpulan mereka.

“Akhirnya sebilangan kanak-kanak tersebut akan menjadi penerus dan pendokong kesesatan akidah dan kepentingan duniawi barisan-barisan kepimpinan GISBH.

“Dengan kata lain, kanak-kanak dijadikan hamba demi ketuanan para pemimpinnya,” hurai khatib.

Tambahnya, Islam menuntut umatnya agar menjaga kanak-kanak dengan baik dan menunaikan hak mereka.

“Sempurnakan dan berikan kepada mereka keperluan asasi seperti pakaian, makan minum, tempat tinggal, perlindungan dan keselamatan.

BERILAH perhatian dan curahkanlah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Foto CANVA
BERILAH perhatian dan curahkanlah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Foto CANVA

“Jagalah kehormatan dan maruah mereka. Berilah perhatian dan curahkanlah kasih sayang kepada mereka.

“Jangan lakukan apa-apa jua bentuk keganasan dan kezaliman terhadap mereka kerana Islam sangat melarang perbuatan sedemikian,” katanya.

Malah Nabi Muhammad SAW tidak mengiktiraf golongan zalim ini sebagai umatnya kerana melakukan perbuatan yang dicela mengikut nafsu buas seperti binatang seperti sabda Baginda:

“Orang yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak mengetahui hak-hak orang tua maka dia bukan daripada umat kami (Nabi Muhammad SAW).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

*Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Selangor dan diterbitkan dalam halaman rasmi jabatan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!