Di manakah Muhamad Shuqrie?

Muhamad Shuqrie
Muhamad Shuqrie
A
A
A

ROMPIN - Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang lelaki berusia 24 tahun dari Kampung Salang, Pulau Tioman yang dilaporkan hilang sejak 8 September lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, kehilangan Muhamad Shuqrie dilaporkan pada 15 September lalu selepas lelaki itu menghilangkan diri dan gagal dikesan.

Menurutnya, lokasi terakhir dia dilihat di Kampung Salang, Pulau Tioman dengan memakai jaket berwarna hitam, berseluar gelap, kasut but hijau gelap dan membawa beg galas berwarna merah.

"Berdasarkan maklumat fizikalnya, Muhamad Shuqrie memiliki ketinggian kira-kira 175 sentimeter, kulit sawo matang dan bertubuh sederhana gempal.

"Berkemungkinan lelaki itu berada di kawasan Rompin atau tanah besar," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Nor Azman berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang lelaki tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah (PKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di 09-4145999.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!