Lebih banyak pusat beli-belah digalak sedia ruang membaca

Peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival Baca Perdana 2024 pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Karnival Baca Perdana 2024 pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih banyak pusat beli-belah digalak menyediakan ruangan membaca serta kedai buku bagi memenuhi minat itu.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan perkembangan positif apabila Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia mendapati mereka membaca sekurang-kurangnya 24 naskhah tahun lalu.

Menurutnya, 69.9 peratus rakyat Malaysia membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan ke arah pembentukan masyarakat berpengetahuan tinggi setanding negara maju lain.

Hasnol Zam-Zam (tengah) mewakili Aaron merasmikan Karnival Baca Perdana. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hasnol Zam-Zam (tengah) mewakili Aaron merasmikan Karnival Baca Perdana. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR

"Kajian mendapati rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua naskhah pada 2005 meningkat kepada 15 naskhah pada 2014 dan 24 naskhah pada tahun lepas.

"Kajian juga menunjukkan bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia gemar membaca di kedai buku dan restoran serta kafe siber, " katanya menerusi teks dibacakan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam-Zam Ahmad pada Jumaat.

Hasnol mewakili Aaron merasmikan Karnival Baca Perdana di pusat beli-belah MyTOWNKL di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab.

Artikel Berkaitan:

Antara pelajar menyertai Karnival Baca Perdana di MYTOWNKL pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Antara pelajar menyertai Karnival Baca Perdana di MYTOWNKL pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR

Selain itu katanya, industri penerbitan negara khususnya buku fizikal masih relevan dan mendapat permintaan menggalakkan daripada pembaca walaupun persekitaran media elektronik sedang menguasai kehidupan masa kini.

"Pada tahun lalu penerbit buku telah memohon kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebanyak 27,972 International Standard Book Number (ISBN) bagi penerbit buku fizikal.

"Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 50.06 peratus atau 9,332 permohonan berbanding 2022," katanya.

Melihat kepada perkembangan positif itu, beliau menyeru syarikat penerbitan menerbitkan lebih banyak bahan bacaan.

"Kajian menunjukkan bahawa 72 peratus rakyat Malaysia berminat membeli bahan bacaan dengan memperuntukkan sehingga RM500 setahun bagi tujuan itu," katanya.

Antara pelajar yang hadir pada Karnival Baca Perdana 2024. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Antara pelajar yang hadir pada Karnival Baca Perdana 2024. FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia juga sedang meneliti Dasar Buku Negara (DBN) untuk ditambah baik mengikut keperluan semasa memandangkan dasar sedia ada telah diwujudkan sejak 27 November 1985.

Sementara itu, Karnival Baca Perdana dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara melalui PNM bagi mempromosikan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, penganjuran karnival bertemakan Perpaduan dalam Pembacaan juga bertujuan menyatukan komuniti Malaysia dalam sebuah program yang bukan hanya memfokuskan kepada budaya membaca tetapi mengandungi elemen perpaduan dan semangat komuniti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!