Kedah banjir lagi, tujuh PPS dibuka di Baling

Anggota APM memindahkan mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Endoi, Parit Panjang, Baling. Foto APM
Anggota APM memindahkan mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Endoi, Parit Panjang, Baling. Foto APM
A
A
A

BALING - Belum sampai 24 jam banjir di Kedah pulih setelah pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir dilaporkan ditutup pada Rabu, bencana itu kembali melanda daerah Baling pada Khamis.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, sehingga jam 12 tengah hari Jumaat, sebanyak tujuh PPS dibuka bagi menempatkan 212 mangsa dari 66 buah keluarga.

Menurutnya, hujan lebat pada Khamis menyebabkan kebanyakan rumah dinaiki air dan penghuni terpaksa berlindung di PPS.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Siong dan SK Seri Bayu dibuka pada jam 9 malam menempatkan 48 mangsa daripada 22 keluarga dan 24 mangsa daripada lapan buah keluarga.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memindahkan mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Sebelah, Baling. Foto APM
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memindahkan mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Sebelah, Baling. Foto APM

"PPS SK Tanjung Pari pula dibuka pada jam 9.30 malam membabitkan 35 mangsa daripada 10 keluarga dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang dibuka jam 10 malam menempatkan 33 mangsa dari sembilan keluarga," katanya.

Selain itu, PPS Dewan Kampung Banggol Derom dan PPS Surau Al Barakah Tembak B dibuka jam 1 pagi menempatkan 36 mangsa daripada sembilan keluarga dan 10 mangsa daripada dua keluarga.

Sementara itu, PPS Surau Kampung Lahar pula dibuka pada jam 3 pagi menempatkan 26 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia berdasarkan jumlah mangsa masih yang didaftarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pengeluaran mangsa terperangkap masih lagi dilakukan oleh pihak terlibat.

Mangsa terjejas banjir di Baling dipindahkan ke tujuh buah PPS secara berperingkat. Foto APM
Mangsa terjejas banjir di Baling dipindahkan ke tujuh buah PPS secara berperingkat. Foto APM

Dalam masa sama, katanya, pemantauan paras air sungai di kawasan terjejas terus dilakukan dari masa ke masa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keadaan banjir di Kedah pulih sepenuhnya selepas PPS terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah ditutup setelah banjir pulih pada Rabu.

Seramai 107 mangsa daripada 31 keluarga yang sebelum ini berlindung sementara di PPS tersebut setakat jam 4.30 petang pada Rabu juga telah pun dibenarkan pulang dan PPS ditutup sepenuhnya pada Khamis.

Sebelum itu, sebanyak 11 buah PPS yang dibuka di daerah Pokok Sena dan Baling juga telah ditutup.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!