Bukan buaya tetapi biawak di Tasik Seksyen 7

Tangkap layar video tular di TikTok mengenai dakwaan kehadiran buaya di Taman Tasik Seksyen 7 Shah Alam.
Tangkap layar video tular di TikTok mengenai dakwaan kehadiran buaya di Taman Tasik Seksyen 7 Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan reptilia di Taman Tasik Seksyen 7 di sini, adalah biawak dan bukannya buaya seperti tular di media sosial.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai satu video di aplikasi TikTok berhubung dakwaan kehadiran buaya di tasik berkenaan.

Menurut beliau, sepasukan pegawai dan anggota Perhilitan Shah Alam kemudian bergegas menjalankan siasatan di lokasi itu, kira-kira jam 10 pagi Jumaat.

"Hasil pemerhatian menyeluruh kemudian menemui empat biawak di kawasan tasik berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Wan Mohd berkata, tiada sebarang kelibat buaya dilihat dan pegawai turut menemubual pemancing serta orang awam di lokasi tersebut.

Jelas beliau, pemerhatian pihaknya ke atas video tular itu turut mendapati reptilia berkenaan merupakan biawak.

"Kami menasihatkan orang ramai berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.

"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 September lalu, umpan ayam segar dipasang Perhilitan Selangor selama 12 jam di tasik itu berjaya menjerat seekor buaya tembaga yang diburu selama dua hari.

Reptilia jantan sepanjang 1.68 meter dengan anggaran berat 15 ke 20 kilogram (kg) itu diselamatkan selepas memasuki perangkap terapung, kira-kira jam 10.20 malam.

Kehadiran buaya itu tular selepas dilihat berada di tebing tasik berkenaan yang menjadi kawasan rekreasi dan riadah penduduk setempat.

Taman Tasik Seksyen 7 itu kemudian disahkan selamat dan tiada buaya lain dikesan berada di kawasan berkenaan setakat ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!