Anggota tentera maut dirempuh kereta memotong di garisan berkembar
KLUANG - Angkara kecuaian pemandu kereta yang memotong di garisan berkembar, seorang anggota tentera maut dirempuh dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Kluang-Nyior di sini malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian dipercayai berlaku pada jam 11.04 malam melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego LC dengan kereta jenis Honda Civic 1.8S.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Honda Civic 1.8S dalam perjalanan dari jalan Nyior menghala ke bandar Kluang manakala motosikal tersebut dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Nyior.
“Setibanya di lokasi, kereta Honda Civic 1.8S itu dengan cuai memotong sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran tidak pasti di kawasan garisan berkembar.
“Kejadian itu menyebabkan kereta tersebut bertembung dengan motosikal mangsa yang berada di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bahrin berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal, Yuskhairi Zailani, 37, yang merupakan seorang anggota tentera cedera parah di kaki, badan dan kepala.
Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Ence' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, namun dilaporkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi Jumaat.
"Proses bedah siasat dijalankan jam 10 pagi Jumaat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Pemandu kereta tersebut pula yang merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun dan bekerja sebagai mekanik, cedera ringan di muka, tangan dan kaki telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!