Na'imah peroleh pasport sementara ke UK, Jepun
KUALA LUMPUR - Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dibenar untuk memperoleh semula pasportnya yang disimpan di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bagi urusan kerja di United Kingdom (UK) dan Jepun.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid menerusi peguamnya, Nizamuddin Abdul Hamid.
Semasa sebutan kes, Nizamuddin berkata, anak guamnya akan bertolak ke luar negara pada minggu hadapan.
"Kami mohon pasport diserahkan hari ini (Jumaat) memandangkan perjalanan ke sana akan bermula hari Isnin dan ia akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 11 November," katanya.
Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide, tidak membantah permohonan terbabit.
Azura kemudiannya memerintahkan Na'imah mengembalikan dokumen berkenaan pada tarikh yang dicadangkan pihak pembelaan.
Pada 23 Januari lalu, Na'imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pada 29 Januari pula, suaminya yang berusia 86 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!