KKM sasar pengguna rokok turun kepada 15 peratus

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan amalan merokok konvensional dalam kalangan dewasa turun kepada 15 peratus menjelang Disember 2025.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 (NHMS 2023) mendapati kadar merokok dalam kalangan berusia 15 tahun ke atas adalah 19 peratus.

"Walaupun kadar penggunaan tembakau telah berkurang daripada 21.3 kepada 19 peratus (NHMS 2019) terdapat peralihan daripada merokok konvensional kepada pengguna rokok elektronik (vape)," ujar Dr Dzulkefly.

Beliau berkata, walaupun sasaran itu ditetapkan pada 2011, pihaknya komited ia dapat dicapai.

"Sekarang kita ada baki empat peratus untuk mencapai sasaran itu, saya berharap kita dapat mencapainya menjelang Disember 2025 untuk mencapai 15 peratus," katanya.

Bermula Selasa lalu, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serta-merta dan berfasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya.

Akta 852 bertujuan untuk mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape terutama dalam kalangan golongan muda.

Penguatkuasaan itu antara lain membabitkan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.

Artikel Berkaitan:

Bagi penguatkuasaan pendidikan yang dijalankan secara berfasa pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam sehingga dua tahun daripada tarikh kuat kuasa.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan meletakkan sasaran pengurangan penggunaan rokok elektronik untuk menangani tabiat ini dengan lebih baik.

"Sekarang ini penggunaan rokok elektronik adalah sekitar 5.8 peratus, jadi, kita hanya boleh menentukan sasaran selepas mempunyai angka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!