[VIDEO] Kertas cadangan mengenai anak asuhan GISBH dijangka dibentang minggu depan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembentangan kertas cadangan melibatkan penjagaan dan masa depan 572 kanak-kanak dan remaja yang dikaitkan dengan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) sepatutnya dibentangkan minggu ini ditangguhkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penangguhan itu susulan terdapat penambahan maklumat dan tangkapan baharu menerusi Op Global.

Sehubungan itu, beliau berharap kertas cadangan berkenaan dapat dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

"Saya sepatutnya bentangkan pada minggu lepas tapi ada proses tertentu termasuk melibatkan pengenalan identiti ... harapnya minggu depan sudah siap dan saya boleh bentangkan," katanya kepada pemberita selepas program 'Inclusivity in Early Education Conference' di sini hari ini.

Sebelum ini, Nancy dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa kertas cadangan ke kabinet minggu ini untuk dibincangkan bersama beberapa kementerian lain berhubung perancangan terhadap 572 kanak-kanak dan remaja di bawah asuhan GISBH.

Beliau berkata, antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet itu termasuk cadangan jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai masa depan kanak-kanak berkenaan termasuk berkaitan pendidikan, keselamatan dan kesan yang dihadapi mereka.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, negara ini memerlukan lebih banyak pusat jagaan orang kurang upaya (OKU) bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya terdapat 11 pusat taska OKU berdaftar yang direkodkan seluruh negara dan menyeru pusat jagaan yang tidak berdaftar membuat pendaftaran segera sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Artikel Berkaitan:

"Memang perlu diperbanyak (taska OKU) sebab itu kita katakan sesetengah mereka menghadapi masalah kerana 'syarat' daripada agensi seperti bomba... tapi bomba lebih kepada aspek keselamatan.

"Jadi sebab itu mereka perlu patuhi namun ramai tidak memahami, kadang-kadang mereka mengatakan kerajaan ini sangat 'berkeras'. Memanglah perlu berkeras sebab keutamaan kita berkaitan keselamatan kanak-kanak,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!