MMGlobal ambil alih UGO Travel untuk kembangkan lagi operasi

Barisan pengurusan baharu UGO Travel & Tours Sdn Bhd, Pengerusi, Datuk Rohaizal Idris (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamad Minhat (dua dari kiri), Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Nordiana Md Sapuan dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan, Hasmadi Mohamad (kanan sekali).
Barisan pengurusan baharu UGO Travel & Tours Sdn Bhd, Pengerusi, Datuk Rohaizal Idris (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamad Minhat (dua dari kiri), Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Nordiana Md Sapuan dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan, Hasmadi Mohamad (kanan sekali).
A
A
A

MMGLOBAL Active (MMGlobal), kumpulan syarikat milik penuh Bumiputera, telah mengumumkan secara rasmi pengambilalihan sepenuhnya UGO Travel & Tours Sdn Bhd (UGO Travel), sebuah agensi pelancongan tempatan yang berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Selain menjadi agensi pelancongan berlesen, UGO Travel juga menawarkan perkhidmatan penjualan tiket penerbangan bagi syarikat penerbangan Batik Air Malaysia dan TranNusa dari Indonesia.

Langkah strategik ini, yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamad Minhat, melengkapkan portfolio MMGlobal dalam industri penerbangan dan sektor berkaitan.

Mohamad Minhat
Mohamad Minhat

Mohamad turut mengetuai beberapa syarikat lain dalam industri ini, termasuk WAUAVIECO Sdn Bhd, MAZ Gerbang Sdn Bhd, PROSKY Services Sdn Bhd, dan G-Force Academy Sdn Bhd.

Dalam kenyataannya, Mohamad menyatakan bahawa pengambilalihan ini mengukuhkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh MMGlobal, seiring dengan visinya untuk mewujudkan ekosistem yang menyeluruh dalam sektor penerbangan dan pelancongan.

“UGO Travel bakal memperkukuhkan lagi portfolio perniagaan kami, melengkapkan perkhidmatan MMGlobal dalam penghantaran kargo udara/laut serta penyediaan tenaga kerja, MAZ Gerbang dalam penyelenggaraan dan baik pulih pesawat (MRO), serta PROSKY Services yang mengendalikan perkhidmatan darat di lapangan terbang seluruh negara,” kata Mohamad.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai kos pengambilalihan ini.

Artikel Berkaitan:

Perniagaan MMGlobal bermula pada tahun 2020 apabila Mohamad mengambil langkah berani menubuhkan MAZ Gerbang Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan MRO, di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19 ketika banyak syarikat lain terpaksa menutup operasi.

Kini, pelanggan MAZ Gerbang terdiri daripada syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, FlyFirefly, World Cargo Airlines, dan Kargo Express Airways.

MMGlobal kini telah muncul sebagai antara pemain utama dalam industri kargo udara dan laut.

Sementara itu, PROSKY Services, yang mendapat kelulusan operasi daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (MAVCOM), memperkukuhkan kedudukan dalam menyediakan perkhidmatan pengendalian darat bagi syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa.

Selain melakukan penyelenggaraan terhadap penerbangan komersial, MAZ Gerbang dan PROSKY turut menyediakan perkhidmatan yang sama untuk jet peribadi dan pesawat orang kenamaan, baik dari dalam mahupun luar negara.

Mohamad, yang mempunyai pengalaman luas termasuk dalam pengurusan ibadah haji semasa berkhidmat dengan syarikat penerbangan AirAsia serta sebuah syarikat pengendali haji dan umrah di Arab Saudi, yakin pengambilalihan UGO akan memberi impak positif kepada kumpulan tersebut.

Pengambilalihan UGO Travel juga membuka peluang kepada MMGlobal untuk menceburi pasaran umrah dengan menawarkan pakej-pakej menarik melalui kerjasama dengan agensi Muasasah di Arab Saudi.

Pada peringkat awal, UGO Travel dijangka menguruskan kira-kira 1,000 jemaah umrah setiap tahun.

“Kami menjamin keberangkatan bakal jemaah pada bila-bila tanpa perlu berdepan masalah berkaitan tiket penerbangan serta menyediakan penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram atau mengikut selera jemaah,” jelas beliau.

UGO Travel juga menawarkan pelbagai pakej pelancongan ke destinasi popular dan kini bersiap sedia untuk memperluaskan cawangan di seluruh negara, selain bekerjasama dengan pempengaruh tempatan dan tokoh agama terkemuka bagi memperkukuhkan jenama.

Mohamad yakin bahawa UGO Travel mampu melangkah lebih jauh dengan kelebihan fleksibiliti yang ditawarkan, di mana para jemaah boleh memilih tarikh perjalanan mengikut kesesuaian masing-masing.

“Moto UGO Travel, ‘Where You Want to Go... UGO!’ melambangkan komitmen kami dalam memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan memastikan impian para jemaah untuk menunaikan ibadah berjalan dengan lancar dan selesa,” tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!