Penggantian paip kritikal di enam negeri termasuk Kelantan bermula tahun depan

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air, sejajar dengan matlamat Program NRW Kebangsaan. Gambar hiasan
Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air, sejajar dengan matlamat Program NRW Kebangsaan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan penggantian paip kritikal dan penyelesaian secara holistik menerusi program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan di enam negeri termasuk Kelantan akan bermula bagi tempoh 2025 sehingga 2030.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan memaklumkan, ia turut melibatkan Pahang, Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Cadangan program NRW yang melibatkan kos sebanyak RM2.525 bilion itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 24 Julai lalu dan akan dilaksana menerusi pemberian geran yang merangkumi dua pendekatan," katanya pada Jumaat.

Ujar PETRA, melalui Belanjawan 2025 kerajaan turut mencadangkan peruntukan kepada Kelantan untuk penggantian meter dan pembaikan tangki air dengan projek dijangka siap pada 2025.

"Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) juga memberi pinjaman RM211.5 juta untuk menggantikan paip asbestos sepanjang 393 kilometer (km) yang dijangka selesai pada Oktober 2025," kata kementerian itu.

Jelas PETRA, sehingga kini, sebanyak 176 km telah siap dilaksanakan dengan kos RM60.5 juta.

"Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan kadar NRW melalui peningkatan infrastruktur air, projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Machang di Kelantan merupakan langkah penting.

"Dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM500 juta pada 27 September tahun lalu, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air, sejajar dengan matlamat Program NRW Kebangsaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kementerian berkenaan, pinjaman juga disalurkan kepada PAAB bagi membina LRA Machang yang akan menggunakan sumber air dari Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang.

"Meskipun pada awalnya Kelantan memohon penukaran pinjaman ini kepada geran, kerajaan mengekalkan pemberian pinjaman dengan moratorium 10 tahun.

"Projek ini dijangka bukan sahaja menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan tetapi juga mengurangkan kadar NRW di negeri tersebut, menyokong inisiatif nasional untuk memastikan bekalan air yang lebih efisien dan terjamin," katanya.

Tambah PETRA, kejayaan pelaksanaan LRA Machang dan Program NRW Kebangsaan itu dijangka memberikan impak positif yang signifikan dalam usaha meningkatkan kualiti bekalan air dan mengurangkan kadar NRW di seluruh negara.

Dalam pada itu, PETRA berkata, pendekatan kadar imbuhan balik secara prorata untuk menggalakkan penyertaan operator air pula akan dilaksana di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!