[VIDEO] Rina Harun tarik diri tanding Ketua Srikandi Bersatu

A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Rina Harun tidak mempertahankan jawatan Ketua Srikandi bagi Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2024-2027.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad berkata, bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu ada menghantar borang pencalonan, namun dilapor menarik diri.

Datuk Seri Rina Harun
Datuk Seri Rina Harun

Menurutnya, hanya satu calon disahkan layak bertanding bagi jawatan itu iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Bahagian Masjid Tanah.

"Saya mengesahkan Datuk Seri Rina Mohd Harun ada menghantar borang pencalonan, namun telah menghantar borang penarikan diri," katanya ketika sidang akhbar Pemilihan Parti Bersatu di ibu pejabat Bersatu pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal ketika ditanya punca penarikan itu meminta media mendapatkan penjelasan tersebut kepada Rina.

Pada pengumuman itu, hanya satu pencalonan disahkan bertanding bagi jawatan Presiden iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) selain Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut).

Artikel Berkaitan:

Sementara Ahmad Faizal akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden bersama lima calon lain yang disahkan layak bertanding.

Saiful Adli (dua dari kiri) pada sidang akhbar Pemilihan Parti Bersatu 2024-2027 pada Jumaat.
Saiful Adli (dua dari kiri) pada sidang akhbar Pemilihan Parti Bersatu 2024-2027 pada Jumaat.

Saiful Adli berkata, JPP menerima sejumlah 276 borang pencalonan pada hari penyerahan borang pada 21 September lalu untuk jawatan-jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu.

"Daripada jumlah itu, calon layak bertanding terdiri 93 calon MPT, 46 calon jawatankuasa Srikandi, 53 calon Armada, calon 39 calon Srikandi Muda dan 27 calon Sayap Bersekutu Malaysia.

"JPP juga telah menerima sejumlah 8,531 borang pencalonan daripada ahli-ahli Bersatu untuk menentusahkan kelayakan dan keabsahan mengambil bahagian dalam pemilihan parti semua peringkat mengikut peruntukan Perlembagaan parti telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu Faizal yang juga Pengerusi Pengurusan Parti Bersatu berkata, kesemua calon bertanding telah melalui proses tapisan yang dilakukan secara teliti dan cermat mengikut Perlembagaan parti serta perundangan negara.

"Pemilihan ini merupakan satu manifestasi nilai keseriusan Bersatu untuk menjadi wadah politik orang Melayu-bumiputera berteraskan lima prinsip Idealisme Perjuangan iaitu inklusif, sederhana, demokratik, integrati dan prihatin.

"Sesungguhnya demokrasi hidup subur dalam Bersatu dan Insya-ALLAH pemilihan akan berlangsung dalam semangat kekeluargaan, memperkukuh Bersatu dengan barisan kepimpinan ampuh diyakini berkredibiliti menjuarai denyut nadi serta suara rakyat Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!