[VIDEO] Terima kekalahan PRK Mahkota, Azmin sedia jentera pilihan raya terbaik
PETALING JAYA - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menuding jari kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa menjadi punca kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.
Ahmad Faizal berkata, Mohamed Azmin selaku Pengarah Pilihan Raya PN telah menyediakan jentera terbaik sepanjang kempen calon PN, Haizan Jaafar.
Menurutnya, PN menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan akan berusaha lebih gigih untuk memperkemas jentera pilihan raya pada masa akan datang.
"Kita menerima keputusan itu atas semangat demokrasi yang kuat. Dalam kalangan rakan PN, kita akan berusaha lebih gigih lagi untuk memperkemas jentera.
"Segala yang dialami dalam PRK Mahkota akan diambil sebagai iktibar dan Insya-ALLAH pada masa mendatang akan meneruskan perjuangan hingga diterima rakyat," katanya pada sidang akhbar Pemilihan Parti Bersatu di ibu pejabat Persatu pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal terdapat dua pemimpin pembangkang mendakwa Mohamed Azmin menyumbang kepada kekalahan gabungan itu dalam PRK Mahkota.
Memetik sumber yang enggan dinamakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu didakwa tidak melakukan tugas dengan baik dalam menggemblengkan jentera gabungan tersebut.
Dakwanya, pusat operasi PN tidak berkomunikasi dengan petugas pilihan raya gabungan itu di luar Johor ketika melaksanakan kempen.
Ahmad Faizal menegaskan, Mohamed Azmin telah menyediakan satu jentera pilihan raya mantap dan terbaik.
"Malangnya keputusan tidak menyebelahi PN namun kami akan bangkit semula.
"Seluruh kepimpinan Bersatu akan bekerjasama lebih kuat bagi memastikan lebih kuat pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu pada Pemilihan Bersatu kali ketiga 2024-2027, Mohamed Azmin tidak menghantar borang pencalonan bagi sebarang jawatan tertinggi.
Mohamed Azmin sebelum ini memaklumkan tidak bertanding sebarang jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat.
Beliau merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum ini dilaporkan ditawarkan jawatan Setiausaha Agung oleh presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!