Penjenayah berparang ikat, tetak penghuni banglo, larikan hasil samun RM600,000

Kumpulan penjenayah bertindak memanjat tembok banglo untuk melakukan samun di Pandamaran, Klang, pada Khamis.
Kumpulan penjenayah bertindak memanjat tembok banglo untuk melakukan samun di Pandamaran, Klang, pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Sekumpulan penjenayah diburu selepas melarikan hasil samun berjumlah RM600,000 di sebuah banglo di Pandamaran, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian kira-kira jam 5 pagi melibatkan suspek seramai 10 hingga 12 orang menaiki dua kereta jenis Toyota Vios dan Honda Civic.

Beliau berkata, suspek yang memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang telah memanjat tembok pagar banglo tiga tingkat terbabit.

Rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di banglo berkenaan yang memaparkan tindakan suspek menggeledah bilik dan ruang tamu.
Rakaman kamera liter tertutup (CCTV) di banglo berkenaan yang memaparkan tindakan suspek menggeledah bilik dan ruang tamu.

"Suspek-suspek terbabit telah masuk ke dalam semua bilik dan menggeledah selain mengikat tiga penghuni rumah itu.

"Salah seorang mangsa iaitu lelaki berusia 37 tahun telah cedera selepas ditetak di bahagian bahu kiri menggunakan parang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah itu berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang dan barang kemas bernilai RM600,000.

Tambahnya, mangsa yang cedera telah menerima empat jahitan di Hospital Pantai, Klang.

Artikel Berkaitan:

"Polis sedang mempergiat usaha untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta salurkan kepada balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Tegasnya, satu kertas siasatan telah dibukat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki memanjat tembok kediaman berkenaan sebelum melakukan samun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!