Duta Palestin di Malaysia mohon maaf insiden amuk di WTKL

Sekumpulan rakyat Palestin mencetuskan kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
Sekumpulan rakyat Palestin mencetuskan kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
A
A
A

SHAH ALAM - Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali memohon maaf berhubung insiden kekecohan yang berlaku melibatkan sekumpulan rakyat Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) baru-baru ini.

Memetik laporan The Star, beliau dilaporkan berkata, kesemua 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza selamat tiba di negara ini pada 16 Ogos lalu serta dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di hotel malah pergerakan amat terhad atas faktor keselamatan.

Menurut Walid, beberapa pesakit menginap di hospital terlalu lama sehinggakan tidak mempunyai peluang untuk keluar dan disebabkan mereka datang dari Gaza yang dilanda perang, ia menyumbang kepada tekanan emosi.

Walid Abu Ali
Walid Abu Ali

"Ada yang mengalami kejutan budaya dan menghadapi persekitaran yang sama sekali baharu.

"Saya minta maaf bagi pihak warga Palestin yang berada di Malaysia dan di tanah air atas kejadian tersebut. Ini bukan budaya, etika atau kepercayaan kami.

"Sebagai rakyat Palestin, kami sangat bersyukur dengan sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan terhadap perjuangan kami," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Rabu lalu, sekumpulan warga Palestin didakwa bertindak kasar dengan membaling selipar ke arah salah seorang pegawai penguat kuasa dan merosakkan harta benda premis berkenaan dipercayai kecewa selepas tidak diizinkan untuk menginap di luar WTKL.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Jumaat, perkara terbabit membuatkan kumpulan berkenaan 'naik angin' sehingga mencetuskan kekecohan di hadapan balai pengawal WTKL bersama keluarga serta rakan-rakan lain.

Pada petang sama, pengurusan WTKL memaklumkan, kakitangan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan beberapa keluarga lain menafikan permintaan kumpulan itu untuk meninggalkan premis kerana mereka berada di Malaysia untuk tujuan transit semata-mata, malah wakil kedutaan juga tidak berjaya meredakan keadaan.

Walid turut memaklumkan, Kedutaan Palestin di Malaysia telah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga hubungan dengan pesakit, mengadakan lawatan secara berkala dan menyediakan barangan keperluan.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa mengingatkan rakyat Palestin untuk menghormati Malaysia dan rakyatnya sebagai tuan rumah kerana tidak semua bertuah mendapatkan peluang sedemikian.

Jelasnya lagi, ada antaranya berhasrat untuk kembali ke Palestin dan kedutaan bersedia membantu mempersiapkan kepulangan mereka dengan pihak berkuasa.

"Bagi mereka yang ingin kembali ke Palestin melalui Mesir, kami akan memudahkan urusan mereka manakala golongan memilih untuk tinggal di Malaysia, kami tetap menyediakan rawatan penjagaan kesihatan sehingga pulih sepenuhnya.

"Mesej saya kepada rakyat Malaysia, kejadian seperti ini pasti tidak akan berulang lagi. Kami sayangkan Malaysia dan rakyatnya.

"Bagaimanapun, mohon dipertimbangkan bahawa mereka berada di bawah tekanan besar kerana perang dan memerlukan penjagaan khas. Kedutaan serta Mindef akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka sepanjang berada di sini," ujar Walid.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!