Kumpulan Fokus inisiatif terbaik kembalikan kepercayaan awam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Kumpulan Fokus merupakan inisiatif terbaik dalam mendapatkan semula kepercayaan awam terhadap kredibiliti sebuah organisasi menerusi tindakan tegas dan konsisten bagi menangani rasuah.

Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, keanggotaannya yang terdiri daripada pemegang taruh daripada pelbagai jabatan dan agensi membolehkan pengumpulan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran khusus dilaksanakan.

Yang dipertua Pertubuhan Ikram Kuala Lumpur (Ikram) Zainal Adnan Abdul Halim.
Yang dipertua Pertubuhan Ikram Kuala Lumpur (Ikram) Zainal Adnan Abdul Halim.

"Penglibatan langsung pemegang taruh daripada kalangan pimpinan atasan juga dapat melicinkan proses penyiasatan dan penguatkuasaan berkaitan rasuah dengan lebih berkesan serta menyeluruh.

"Kumpulan Fokus ini berpotensi menggalakkan kerjasama dan kolaborasi antara pelbagai pemegang taruh, termasuk penguatkuasa undang-undang, agensi kerajaan serta masyarakat sivil.

"Ia juga akan membolehkan tindakan lebih pantas dalam menangani kes rasuah tertentu atau isu yang timbul serta meningkatkan kecekapan intervensi apabila diperlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan 'Focus Group' oleh Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi meningkatkan skor dan kedudukan Malaysia dalam senarai indeks itu serta melonjak kedudukan negara di tangga ke-25 teratas dunia dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya, antara fungsi pasukan berkenaan adalah mencadangkan penambahbaikan dasar kerajaan serta meneliti langkah bagi mempercepat reformasi sektor awam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zainal berkata, usaha berkenaan juga dijangka meningkatkan akauntabiliti dalam organisasi dan institusi sekali gus menunjukkan komitmen serius terhadap usaha memerangi rasuah.

"Pengagihan sumber dan tenaga kerja yang lebih baik untuk menangani rasuah juga dapat dilakukan dengan memastikan usaha tertumpu di kawasan paling kritikal.

"Pada masa sama, Kumpulan Fokus ini boleh mengenal pasti isu sistemik yang telah lama berlarutan dan mencadangkan perubahan dasar yang konkrit untuk pencegahan rasuah dalam jangka masa panjang.

"Secara keseluruhannya, pasukan ini amat diperlukan dalam memerangi rasuah agar usaha yang lebih berkesan dan terkoordinasi dapat dilaksanakan untuk menangani isu yang kompleks ini," ujarnya.

Tambah beliau, diharapkan fungsi Kumpulan Fokus berkenaan dijalankan dengan serius supaya ia tidak dilihat sebagai usaha yang hanya 'hangat-hangat tahi ayam'.

Ujarnya, pihak terlibat perlu menggunakan kuasa dan kepercayaan yang diberikan untuk benar-benar mencapai hasil yang diharapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!