Reman 24 individu termasuk CEO GISBH disambung tujuh hari

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) disambung tujuh hari untuk siasatan kes buruh paksa.

Perintah reman terhadap kesemua individu berusia 25 hingga 65 tahun itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Tan Yuan Ling di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan itu dibuat pasukan siasatan selepas reman kesemua individu yang ditahan semula pada Isnin lalu tamat pada Jumaat.

“Reman individu berprofil tinggi termasuk CEO GISBH telah dibenarkan sehingga 10 Oktober ini (mula Jumaat) untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, CEO GISBH telah direman lima hari bermula 30 September hingga 4 Oktober untuk siasatan berkaitan satu laporan kes eksploitasi buruh paksa.

Laporan itu dibuat oleh mangsa di Cheras yang dieksploitasi suspek ketika bekerja di syarikat terbabit dan tidak menerima bayaran gaji.

Media sebelum ini melaporkan seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk CEO GISBH ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini kira-kira jam 5.40 pagi, 19 September lalu.

Lima lagi individu termasuk seorang anak kepada pimpinan utama GISB Holdings itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira jam 6 petang, 18 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, media tempatan melaporkan 206 akaun berkait GISBH bernilai lebih RM1.35 juta telah dibekukan setakat ini.

Tindakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) turut membekukan pelbagai aset iaitu 31 kereta dan bas pelbagai guna serta 19 lot tanah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!