Ringgit ditutup lebih tinggi

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, meningkat daripada penyusutan baru-baru ini. Gambar hiasan.
Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, meningkat daripada penyusutan baru-baru ini. Gambar hiasan.
A
A
A

RINGGIT ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, meningkat daripada penyusutan baru-baru ini.

Mata wang itu menokok meskipun risiko geopolitik yang meningkat di Timur Tengah dan menjelang data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan pada lewat malam ini yang boleh menentukan hala tuju kadar faedah AS.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2155/2240 berbanding dolar AS daripada 4.2185/2250 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata konflik di Timur Tengah kekal sebagai faktor risiko utama di pasaran dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$78.3 setong.

"Selain itu, pasaran sedang menunggu data NFP AS dikeluarkan lewat malam ini, yang dijangka mencatat 147,000 pekerjaan pada September daripada 142,000 pada bulan sebelumnya. Data pekerjaan yang kukuh bererti Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin melaksanakan pendekatan terukur untuk pelonggaran monetari,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama, kecuali berbanding euro apabila meningkat kepada 4.6484/6578 daripada 4.6555/6627 semalam.

Ia lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8779/8839 daripada 2.8711/8757

dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5505/5617 daripada 5.5330/5415.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2489/2557 daripada 3.2523/2575 semasa ditutup semalam dan berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 daripada 273.4/273.9.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.7549/7861 daripada 12.7270/7520 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.48/7.50 semasa ditutup semalam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!