Hina Agong: Iswardy Morni diperintah bela diri

Iswardy Morni
Iswardy Morni
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat memerintahkan seorang aktivis membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial Facebook miliknya yang berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk M M Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Iswardy Morni, 47, pada akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh diperintah membela diri,” katanya.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Rahman.

Sebanyak sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 3 Januari 2022.

Iswardy didakwa telah mengeluarkan kenyataan melalui Facebook miliknya Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang, 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!