Lelaki warga Singapura mengaku rasul, sebar ajaran sesat didakwa

Tertuduh (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan pada Jumaat.
Tertuduh (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah dengan mendakwa dirinya utusan rasul dan dalam dirinya ada ruh kudus.

Tertuduh Idris Ami, 60 yang bekerja sebagai pemandu forklift bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Zulfikri Yasoa' selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah kepada dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 46 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan mendakwa bahawa dirinya adalah utusan yakni Rasul bagi zaman ini.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah mengajar ajaran salah kepada individu sama yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan mendakwa di dalam dirinya ada ruh kudus yang merujuk kepada ruh rasul-rasul terdahulu iaitu Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah antara 6 hingga 8 Oktober tahun lalu jam lebih kurang 11 malam.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh berikutan tertuduh bukan warganegara serta dibimbangi akan pulang ke negara asal yang akan menyukarkan lagi proses pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Hakim kemudiannya menetapkan bon jaminan keseluruhan sebanyak RM8,000 dengan empat penjamin warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sembilan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan keluar dari negara ini sehingga terdapat perintah lain dikeluarkan, selain perlu melaporkan diri setiap bulan pada 1 hari bulan kepada ketua penguasa agama.

Dalam pada itu, hakim membebaskan seorang wanita warganegara tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai merupakan orang kanan tertuduh dengan bon jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, tertuduh bersama wanita berkenaan sebelum itu ditahan di Muazam Shah,Pahang dalam satu operasi oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai terbabit dalam penyebaran satu ajaran sesat dikenali sebagai ajaran cahaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!