Lelaki tendang, cederakan polis guna sepana ketika lari SJR
BACHOK - Seorang lelaki bertindak agresif menendang dan mencederakan anggota polis dengan sepana ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Simpang Empat Repek di sini pada Jumaat.
Suspek berusia 24 tahun bagaimanapun berjaya ditahan dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, sebelum itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bachok yang membuat penugasan SJR melihat sebuah motosikal jenis EX5 berwarna merah ditunggang seorang lelaki bertindak membuat pusingan serta cuba melarikan diri.
“Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok bertindak mengejar suspek sejauh dua kilometer sehingga dia terbabas ke dalam semak di kawasan Kampung Hujung Repek.
“Semasa proses penahanan, berlaku pergelutan apabila suspek menendang dan mencederakan lengan serta paha seorang anggota menggunakan sepana,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.
Menurut beliau, suspek berjaya ditahan dan sepana tersebut turut dirampas.
Katanya, hasil semakan dan pemeriksaan lanjut mendapati nombor casis motosikal dinaiki sama dengan motosikal yang dilaporkan hilang berkait laporan polis yang dibuat di Kuala Besut, Terengganu.
“Suspek juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa tangkapan dibuat.
“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah,” katanya.
Tambah beliau, suspek direman selama empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, 353, 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!