Mangsa banjir di Kedah dan Perak meningkat sedikit malam ini

Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perak meningkat sedikit malam ini manakala situasi banjir di Selangor bertambah baik apabila bilangan mangsa di negeri itu terus mencatatkan penurunan. Foto hiasan Bernama
Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perak meningkat sedikit malam ini manakala situasi banjir di Selangor bertambah baik apabila bilangan mangsa di negeri itu terus mencatatkan penurunan. Foto hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perak meningkat sedikit malam ini manakala situasi banjir di Selangor bertambah baik apabila bilangan mangsa di negeri itu terus mencatatkan penurunan.

Di KEDAH, mangsa banjir di negeri itu bertambah empat orang menjadikan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 218 orang daripada 68 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 214 orang daripada 67 keluarga petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa itu ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling.

PPS yang dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, SK Seri Bayu, SK Tanjung Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Dewan Kampung Banggol Deram, Surau Kampung Lahar dan Surau Albarakah Tembak B.

Kesemua mangsa dari empat mukim itu melibatkan Kampung Charuk Bakap, Kampung Parit Panjang, Kampung Tembak B, Kampung Baru, Kampung Pokok Setol, Kampung Depan Sekolah, Kampung Siput, Kampung Batu 60, Kampung Tanjung Pari, Kampung Simpang 3 Sik Jalan Weng, Kampung Banggol Deram, Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Lahar.

Mengikut laman web Public Infobanjir JPS, tiada sungai di negeri itu berada pada paras bahaya, namun Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar melebihi paras amaran.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 106 orang daripada 30 keluarga malam ini berbanding petang tadi iaitu seramai 99 orang daripada 22 keluarga di dua PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di SK Matang Gelugor, Matang di Taiping bertambah kepada 67 orang daripada 19 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di PPS SK Changkat Lobak di daerah Kerian kekal seramai 39 orang daripada 11 keluarga.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di PPS malam ini terus mencatatkan penurunan kepada 1,178 mangsa daripada 277 keluarga berbanding 1,241 mangsa petang tadi.

Perkembangan pada malam ini turut menyaksikan penutupan sebuah PPS, sekali gus menjadikan sebanyak enam PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor, menurut portal InfoBencanaJKM.

PPS berkenaan ialah Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan Masyarakat Kampung Gombak, Kuang; Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bunga Matahari. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!