Nelayan terjatuh di perairan Batu Laut ditemukan lemas

Nelayan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas setelah dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Batu Laut, ditemukan lemas di perairan Tanjung Gabang di Shah Alam pada 4.30 petang Khamis. Foto hiasan
Nelayan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas setelah dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Batu Laut, ditemukan lemas di perairan Tanjung Gabang di Shah Alam pada 4.30 petang Khamis. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Nelayan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas setelah dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama rakannya di perairan Batu Laut, ditemukan lemas di perairan Tanjung Gabang dekat sini pada 4.30 petang Khamis.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa R K Kesavan, 60, dijumpai oleh nelayan tempatan pada kedudukan enam batu nautika barat daya Tanjung Gabang.

"Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) mendapat maklumat awal daripada nelayan tempatan mengenai berita penemuan mayat mangsa.

"Susulan itu, aset menyelamat melibatkan Maritim Selangor dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) digerakkan ke lokasi penemuan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Abdul Muhaimin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kanchong Laut, Kuala Langat bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Mangsa dikatakan keluar ke laut bersama rakan menggunakan bot kelas A sebelum terjatuh selepas besi yang dipegang berhampiran kemudi bot patah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!