Guardiola kunci mulut status di Manchester City
PEP Guardiola kekal menutup mulut mengenai masa depannya sebagai pengendali Manchester City, di tengah-tengah spekulasi dia mungkin meninggalkan The Citizens dengan kontraknya akan berakhir penghujung musim.
City, yang berada di kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris di belakang pendahulu Liverpool dengan satu mata, sekali lagi akan beraksi tanpa pemain tengah Kevin De Bruyne lagi apabila melayan Fulham di Stadium Etihad pada Sabtu.
“Saya tidak akan bercakap mengenai perkara ini, apabila ia akan berlaku, ia akan berlaku,” kata Guardiola mengenai masa depan bersama penyandang juara tersebut.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga mempertahankan City, yang dalam perbicaraan berhubung dakwaan pelanggaran peraturan permainan adil kewangan liga yang berpotensi menyaksikan kelab berkenaan berdepan pemotongan mata, denda dan penyingkiran jika didapati bersalah.
“Saya sebahagian daripada kelab ini, jauh dalam hati saya dan cara terbaik untuk mempertahankan kelab ialah memenangi perlawanan dan melakukan tugas sebaik mungkin.
“Sudah tentu, saya akan mempertahankan kelab saya. Cara terbaik untuk mempertahankan adalah dengan melakukan tugas kami sebaik-baiknya, semua orang yang bekerja di sini mempunyai tugas dan tanggungjawab.
“Saya suka kelab ini dan ia akan sentiasa begitu,” kata Guardiola kepada pemberita.
Penyokong-penyokong The Citizens sebelum ini terdesak untuk mengekalkan pengendali Catalan itu setelah terdapat segelintir yang menaikkan sepanduk di Stadium Etihad meminta bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich berkenaan kekal.
“Mereka perlu membawa saya bil, saya perlu membayar sepanduk itu.
"Apa yang boleh saya katakan? Terima kasih banyak-banyak, saya jatuh cinta sejak hari pertama di sini,” kata Guardiola.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!