Jadikan sekolah harian berkualiti
SHAH ALAM - Reformasi Pendidikan di bawah kerajaan Madani sepatutnya menjadikan semua sekolah harian berkualiti bagi mengelakkan perebutan untuk mendapatkan subsidi ke asrama penuh.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, sekolah harian berkualiti mencakupi segala kemudahan pembelajaran, guru profesional dan mahir, internet, gajet serta tidak sesak dengan murid.
Menurutnya, jika kualiti di semua sekolah harian di negara ini sebaik sekolah asrama penuh, isu subsidi pendidikan dan kuota pendidikan ke asrama penuh tidak akan timbul.
“Sebab itu, fokus kita sepatutnya lebih jelas iaitu berbincang dan menggesa kerajaan supaya meningkatkan kualiti sekolah-sekolah harian. Bukan terperangkap untuk sekadar berebut subsidi asrama penuh.
“Kita sepatutnya membesarkan ‘kek’ peluang pendidikan berkualiti, bukan sekadar hanya berebut ‘kek’ peluang pendidikan yang kecil (subsidi),” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.
Beliau berkata, begitu juga dengan Tingkatan Enam, jika semuanya sebaik program matrikulasi pasti isu kuota tidak akan timbul.
“Dulu kecoh isu kuota matrikulasi. Sebenarnya isu subsidi dan kuota pendidikan sama sahaja. Kedua-duanya menjadi isu besar disebabkan penawaran peluang yang rendah.
"Semua orang mahu anak-anak mereka ke sekolah yang berkualiti tidak kiralah keluarga kaya atau miskin,” ulasnya.
Sebelum ini, kerajaan memberi bayangan akan menghentikan pemberian subsidi dalam sektor pendidikan kepada anak golongan kaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perkara itu antara menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan.
Menurutnya, adalah tidak adil dan munasabah sekiranya subsidi pendidikan yang sepatutnya dimanfaatkan rakyat miskin turut dinikmati anak golongan elit.
Mengulas lanjut Anuar berkata, ibu bapa di negara maju tidak mempunyai isu seperti demikian kerana semua pusat pendidikan berkualiti.
“Sekolah asrama penuh akan ‘memisahkan’ anak-anak daripada keluarga mereka pada usia yang masih muda. Kehidupan anak-anak sepatutnya bersama keluarga. Itu fitrah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!