Amaran krisis bekalan air
SHAH ALAM - Kerajaan digesa bersiap sedia menghadapi krisis bekalan air terawat yang dijangka berlaku tidak sampai 20 tahun lagi di Malaysia.
Malah pakar industri air memberi amaran harga komoditi itu bakal melonjak sehingga tiga kali ganda sekiranya punca-punca yang mendorong kepada krisis tersebut tidak ditangani dengan segera.
Pensyarah Jabatan Persekitaran dan Pekerja, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman meramalkan dalam tempoh tidak sampai 20 tahun lagi tarif air akan meningkat kepada RM4 berbanding RM1.38 bagi setiap 1,000 liter pada masa ini.
Tegasnya, empat faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga komoditi itu adalah peningkatan populasi rakyat, kemarau, tiada kesedaran terhadap penjimatan air dan sikap pemain industri yang memandang rendah terhadap isu pencemaran sungai.
“Kadar RM4 itu adalah kadar minimum. Kalau kita ada masalah kekurangan air, mungkin harganya akan lebih meningkat. Sebabnya pada masa hadapan isu alam sekitar akan menjadi isu yang penting.
“Air juga akan jadi sama seperti minyak petrol. Kereta perlukan minyak untuk bergerak dan manusia perlukan air untuk hidup,” katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, kerajaan perlu memastikan komoditi air milik Malaysia diuruskan dengan cara yang efisien dan menguntungkan negara.
Beliau menjelaskan, walaupun Malaysia menerima purata hujan tahunan sebanyak 3,000mm setahun, namun ia bukan satu jaminan bahawa bekalan air pada masa depan akan terus mencukupi terutamanya dalam tempoh 20 tahun akan datang.
“Ketika ini jumlah penduduk di Malaysia adalah melebihi 32 juta orang. Bayangkan dalam tempoh 10, 20 atau 50 tahun akan datang? Berapa jumlah dan kapasiti penggunaan air di Malaysia?
“Pada ketika ini sahaja, purata seorang rakyat Malaysia menggunakan 226 liter air sehari, suatu tahap yang tertinggi berbanding dengan penggunaan di semua negara jirannya,” kata beliau.
Purata penggunaan air yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 165 liter sehari bagi setiap individu.
Selain itu, katanya, sikap pemain industri yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa industri ke dalam sungai, misalnya kes pencemaran Sungai Kim Kim di Johor Bahru tahun lalu, memaksa kerajaan mengeluarkan belanja yang tinggi untuk merawat semula sungai berkenaan.
Berkongsi pandangan sama, pakar kualiti air, Profesor Dr Maketab Mohamed berkata, tarif air akan naik pada masa hadapan tetapi pada harga yang masih munasabah buat rakyat.
Katanya, perkara yang menjadi kebimbangan adalah faktor jangka masa panjang melibatkan kualiti air terutamanya yang disebabkan pembangunan dalam kawasan tadahan air dan pencemaran air mentah.
Sebagai contoh, katanya, pencemaran yang berlaku di Sungai Kuala Muda yang merupakan sumber air utama Pulau Pinang.
Pencemaran di Sungai Kuala Muda berlaku kerana terdapat pembinaan tapak pembuangan sampah haram yang terletak 30 meter dari Sungai Kuala Muda.
“Disebabkan pencemaran ini, ia akan menjadi faktor kenaikan tarif air. Bagaimanapun pada saya, kenaikan itu pada masih ini masih pada tahap yang tidak membebankan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan air di Perlis hanya bertahan empat bulan
Teroka teknologi simpan air hujan
Bil air lebih mahal jika guna teknologi lebih canggih
Krisis bekalan air: Kaji semula perjanjian lapuk
Sudah tiba masa Malaysia bertegas dengan Singapura
Malaysia mahu RM3 bukan 3 sen
Perjanjian air: Malaysia berhak semak selepas 25 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!