[VIDEO] Dulu juruteknik, kini petani moden bekalkan sayur penduduk Labuan

A
A
A

LABUAN - Ingin menyediakan sumber makanan berkonsepkan halalan toyyiban kepada masyarakat Islam di wilayah ini mendorong seorang pemuda bertukar bidang daripada juruteknik dalam industri minyak dan gas kepada petani moden.

Zulhafez Jindeh, 35, kini bergelar seorang usahawan dengan menjual sayuran jenis salad melalui tanaman hidroponik yang diusahakan sejak setahun lalu.

Zulhafez salah seorang penerima bantuan daripada MAIWP yang mengusahakan tanaman hidroponik di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.
Zulhafez salah seorang penerima bantuan daripada MAIWP yang mengusahakan tanaman hidroponik di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.

Menurutnya, walaupun baharu setahun menceburi tanaman hidroponik namun sebelum ini dia aktif mengusahakan penternakan dan juga tanaman sayur-sayuran secara fertigasi.

Bercerita lanjut bagaimana dia menceburi bidang tersebut, semuanya bermula selepas dia mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) daripada syarikat berikutan industri minyak dan gas mulai merosot dan mengambil keputusan beralih kepada bidang penternakan pada 2019.

Zulhafez menerangkan tanaman sayur menggunakan kaedah hidroponik di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.
Zulhafez menerangkan tanaman sayur menggunakan kaedah hidroponik di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.

"Pada ketika itu, saya mulai menternak udang kara, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 melanda perniagaan terjejas disebabkan masalah pengangkutan di mana ketika itu kebanyakkan pelanggan dari luar Labuan.

"Pada masa sama, saya aktif dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan menjadi ahlinya. Jadi LPP beri nasihat supaya saya bertukar dari bidang penternakan kepada pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Mereka memberi peluang kepada saya dengan menawarkan sebahagian tanah untuk mengusahakan tanaman berbentuk fertigasi dan saya diberikan satu lot untuk membuat tanaman cili, sayur dan buah-buahan dari tahun 2021 hingga 2023," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Laman Hidropinik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan, di sini, baru-baru ini.

Zulhafez turut dibantu anak sulungnya ketika menyediakan sayur salad permintaan pelanggan di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.
Zulhafez turut dibantu anak sulungnya ketika menyediakan sayur salad permintaan pelanggan di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.

Tambah Zulhafez lagi, tanaman sayur-sayuran secara hidroponik itu pula tercetus apabila MAIWP menawarkannya program yang berbentuk membantu golongan asnaf di wilayah ini.

"Saya menerima tawaran itu dan diberikan satu lot tanpa mengeluarkan sebarang kos. Di mana setiap satu lot rumah hijau bernilai RM60,000 iaitu merangkumi tapak, sistem, benih permulaan, baja dan juga kursus pengendalian tanaman hidroponik yang mula diusahakan pada Ogos 2023.

"MAIWP beri peluang dan kami usahakan sendiri kerana mereka mempunyai sasaran untuk mengurangkan golongan asnaf di Labuan.

"Setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya yang ketika itu pemangku pemangku Ketua Pegawai Eksekutif mengatakan daripada mereka memberikan ikan, lebih baik diberikan pancing dan diajar sekali bagaimana memancing.

"Daripada kami diberi bantuan RM500 setiap bulan tetapi tiada perubahan, jadi mereka beri peluang usahakan tanaman ini yang mana bila kami usaha lebih, kami dapat lagi lebih," katanya.

Zulhafez menyerahkan sayur salad kepada pelanggan yang datang membeli sayurnya rumah hijau di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.
Zulhafez menyerahkan sayur salad kepada pelanggan yang datang membeli sayurnya rumah hijau di Laman Hidroponik MAIWP Labuan.

Zulhafez berkata, kini dengan hanya menanam sayur salad tersebut dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan dengan membekalkannya kepada pengusaha restoran dan penduduk sekitar pulau berkenaan.

Jelasnya lagi, penduduk di wilayah ini sebenarnya terpaksa bergantung sumber makanan seperti sayur-sayuran dari tanah besar (Sabah) di mana sudah tentu kosnya tinggi kerana dibawa menyeberangi laut.

"Selain sumber makanan mahal, sebagai seorang beragama Islam, perlu juga difikirkan sumber makanan ini hasilnya daripada mana, adakah orang Islam yang menyediakannya.

"Inisiatif MAIWP mahu menitik beratkan fardu kifayah, jadi sebaik-baiknya sebagai orang Islam saya mengambil peluang ini menyediakan bahan makanan berkonsepkan halalan toyibban.

"Kini, saya membekalkan sumber makanan sayur salad untuk restoran menjual ayam penyet dan pelanggan juga boleh membeli secara terus dari sini dengan harga yang murah iaitu RM2 setiap satu bekas.

"Walaupun jumlah pendapatan tidak seperti ketika bekerja dulu, tetapi dengan cara ini saya memberi manfaat kepada orang lain.

"Menjual sayur dengan harga yang murah sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan berbelanja dan sumber makanan pun lebih diyakini dari segi halalnya," katanya.

Sehubungan itu, sebagai golongan muda, Zulhafez berharap peluang itu dapat dikembang atau diperluas kepada mereka bukan saja untuk meningkatkan ekonomi keluarga tetapi menyediakan sumber makanan kepada penduduk di wilayah tersebut.

"Saya berharap kalau diberi peluang supaya ditambahkan lagi keluasan untuk penanaman kerana sekarang ini kapasiti hanya 2,000 bekas.

"Ia tidak dapat menampung permintaan sebulan di mana setiap hari saya bekalkan sayur ini kepada pelanggan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!