Anwar praktikal laksana lantikan politik dalam GLC

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nor Halmey
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat praktikal melaksanakan lantikan politik dalam badan berkanun dan berkaitan kerajaan (GLC) dengan hanya memberikan jawatan dan kedudukan kepada individu berkelayakan.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, perkara itu memberi kesan baik kepada ekonomi negara kerana tidak mengalami pembaziran dalam pembayaran gaji malah berbaloi berikutan ia diberikan kepada individu sepatutnya.

“Angka jumlah lantikan politik dalam GLC bukan satu masalah tetapi yang mencetuskan pertikaian dalam masyarakat apabila individu dilantik tidak menepati kehendak jawatan dipegang.

“Sekiranya ahli politik yang menepati keupayaan serta pakar dalam bidang sama ia tidak menjadi masalah.

"Mereka pasti berkebolehan untuk memberi impak dan kemajuan kepada jawatan dilantik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, jumlah lantikan politik dalam GLC di bawah pentadbiran Anwar menunjukkan angka lebih kecil berbanding era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Analisis Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menerusi Projek Pantau Kuasa mendapati, 95 pelantikan politik dibuat sepanjang tempoh 22 bulan Anwar menerajui kerajaan berbanding 273 lantikan semasa Ismail Sabri dan Muhyiddin (186) yang masing-masing mentadbir selama 17 dan 15 bulan.

Nor Halmey berkata, lantikan dalam GLC wajar dilaksana kepada tenaga profesional lain seperti penjawat awam atau mana-mana individu yang berkemampuan dan kepakaran tidak berkait politik bagi membentuk tadbir urus lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!