Golongan muda hutang tinggi berisiko gagal urus kewangan
SHAH ALAM - Golongan muda yang dibebani hutang tidak terkawal bukan sahaja akan mengalami kesan negatif dalam kualiti gaya hidup semasa tetapi turut berdepan kesukaran pada waktu persaraan nanti.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, keadaan itu berlaku kerana golongan tersebut tidak berupaya membuat tabungan untuk digunakan pada masa kecemasan.
“Bebanan hutang di usia muda juga amat bahaya kerana boleh menjerumus golongan muda ke situasi bankrap apabila hutang tidak lagi mampu dibayar disebabkan bebanan kewangan yang tinggi selepas hidup berkeluarga.
“Ini juga dikhuatiri akan mendedahkan golongan muda mengambil jalan pintas dengan membuat pinjaman along yang sangat menindas masyarakat dan bahaya.
“Selain itu bagi golongan muda yang berkeluarga juga, bebanan hutang boleh menyebabkan konflik rumah tangga jika pasangan masing-masing tertekan dengan kualiti hidup disebabkan dengan bebanan hutang yang tidak diurus dan mampu dibayar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini mendedahkan seramai 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah hampir RM1.9 bilion.
Menurutnya, masih ramai tidak dapat membezakan barangan keperluan hidup dengan kehendak.
“Hidup bergaya melebihi kemampuan masih membelenggu masyarakat.
"Budaya dan disiplin untuk menabung juga agak kurang kerana tiada lebihan pendapatan dan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!