Perbalahan bentuk Kerajaan Perpaduan di Johor bersifat individu - Penganalisis
SHAH ALAM - Perbalahan beberapa pemimpin politik tentang pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor bersifat individu dan tidak melibatkan parti.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, isu tersebut tidak dibincangkan di peringkat pusat parti sekali gus tidak akan menggoyahkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, isu berkenaan dibangkitkan di peringkat bawahan sahaja dan lebih kepada ungkapan-ungkapan individu yang mendesak penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri Johor.
“Tapi sebenarnya isu ini tidak dibincangkan di peringkat pusat parti. Pucuk pimpinan parti setakat ini tidak mengambil hal ini sebagai sesuatu yang serius,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Menurutnya, walau bagaimanapun untuk mengelakkan kemudaratan di masa hadapan, perkara berkenaan perlu dibendung.
“Pada pandangan saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kena ambil perhatian isu ini kerana kalau tidak dibendung ia akan jadi keretakan dalam perhubungan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!