Selepas 40 tahun, penduduk terima bekalan air bersih

Mohamad Yusoff @ Munir (enam dari kanan) hadir mewakili menteri besar ke Majlis Perasmian Projek Pembangunan Sistem Air Bersih di Kampung Bukit Batu, Sik pada Jumaat.
Mohamad Yusoff @ Munir (enam dari kanan) hadir mewakili menteri besar ke Majlis Perasmian Projek Pembangunan Sistem Air Bersih di Kampung Bukit Batu, Sik pada Jumaat.
A
A
A

SIK - Kira-kira 500 penduduk dari tiga buah kampung di sini bersyukur setelah menerima bekalan air bersih kerana selama ini bergantung semata-mata kepada air bukit sejak lebih 40 tahun lalu.

Mahfuz Ahmad, 40, dari Kampung Bukit Berangan berkata, projek yang dibina Yayasan Ikhlas dengan peruntukan oleh Tabung Haji bernilai RM500,000 itu telah memberi nafas lega buat penduduk.

Menurutnya, air Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak mampu dibekalkan kepada penduduk memandangkan kedudukan rumah di kawasan berbukit serta bertekanan rendah.

"Dapat air bersih bersyukur sangat kerana sejak lahir hanya bergantung kepada air bukit, kalau hujan, air jadi keruh jadi kena tunggu dua tiga jam baru boleh guna, yang ini boleh minum sekali sebab sudah diuji... cuma sesekali bergantung kepada pam air sahaja sekiranya rosak perlu baiki," katanya.

Penduduk Kampung Kubang, Md Sabri Hamid, 53 berkata, sejak mengetahui mengenai inisiatif Yayasan Ikhlas yang ingin membina telaga tiub, semua penduduk memberikan komitmen sepenuhnya.

"Ini merupakan kali pertama penduduk mendapat bekalan air bersih... jadi bila Yayasan Ikhlas datang untuk bantu sediakan air bersih, orang kampung amat bersyukur, sebab itu semua memberi komitmen penuh dan projek yang sepatutnya siap dalam tempoh sembilan bulan dapat siap lebih awal, tujuh bulan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, ia merupakan projek pembangunan sistem air bersih ketiga di daerah ini selepas Kampung Tanah Hitam dan Kampung Jelutong.

Menurutnya, pembinaan meliputi telaga tiub sedalam 64 meter bagi mendapatkan sumber air bawah tanah, menara tangki untuk menyimpan air yang ditapis serta sistem paip baharu bagi menyalurkan air bersih ke 150 buah rumah penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Projek kali ini membabitkan kos yang paling besar berbanding dua projek sebelumnya dan diharap lancar serta memberi manfaat kepada semua penduduk," katanya.

Dalam pada itu, Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyempurnakan perasmian pada Jumaat berkata, dengan adanya projek berkenaan, dapat memberi manfaat kepada penduduk di Kampung Bukit Batu, Kampung Bukit Berangan dan Kampung Kubang.

"Tempat ini agak tinggi dan di hujung sistem jadi bekalan SADA tak boleh sampai ke sini, bila projek siap, dah cuba dalam tempoh sebulan, air laju, air selamat diminum dah diuji, kita harap banyak lagi projek sebegini untuk rakyat Kedah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!