Pemuda maut kereta terbabas langgar pokok
MANJUNG - Seorang lelaki berusia 21 tahun maut setelah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandunya dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di Bangunan Persekutuan Seri Manjung, awal pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar jam 2.10 pagi.
Katanya, seramai 10 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung bergegas ke lokasi.
"Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta terbabas dan melanggar sebatang pokok.
"Terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu kereta tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Ketua operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Operasi diketuai PBK II TBK Zaimi Mohd Noh itu tamat pada jam 2.58 pagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!