Selangor semak status pematuhan syarat premis, kediaman GISBH

Suee Lim (kanan) sambil diiringi Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan memotong riben sebagai simbolik Program Rejuvenasi di Kampung Bagan Sungai Yu di sini pada Sabtu.
Suee Lim (kanan) sambil diiringi Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan memotong riben sebagai simbolik Program Rejuvenasi di Kampung Bagan Sungai Yu di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor akan membuat semakan terhadap semua premis dan kediaman GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) sama ada syarikat itu mematuhi syarat garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sebaliknya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, semakan lanjut itu antaranya meliputi pematuhan kebenaran merancang (KM), sijil Penyiapan dan pematuhan (CCC) serta pembayaran cukai taksiran.

"Semua ini akan kita semak terlebih dahulu mengenai premis dan kediaman GISBH adakah mereka mematuhi peraturan ditetapkan oleh PBT," katanya ketika ditemui selepas Program Rejuvenasi di Kampung Bagan Sungai Yu di sini pada Sabtu.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan berkata, laporan mengenai pematuhan itu akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

Sebelum ini, GISBH didakwa terlibat dengan kegiatan penyelewengan akidah susulan terpalit isu ajaran sesat al-Arqam yang pernah difatwakan sesat pada 1994 lampau sehingga sanggup mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan aktiviti perniagaan.

Pada Khamis lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Sembah maklum berkenaan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor yang juga Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!