Pahang fatwa GISBH sesat dan menyeleweng

Pengikut GISBH sama ada pekerja yang beragama Islam ataupun mana-mana orang Islam diputuskan menyeleweng dan sesat. (Gambar kecil: Asmadi)
Pengikut GISBH sama ada pekerja yang beragama Islam ataupun mana-mana orang Islam diputuskan menyeleweng dan sesat. (Gambar kecil: Asmadi)
A
A
A

KUANTAN - Pengikut-pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sama ada pekerja yang beragama Islam ataupun mana-mana orang Islam diputuskan menyeleweng dan sesat.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang setelah diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, jawatankuasa terbabit bersidang dalam mesyuarat khas pada 2 Oktober lalu.

Menurutnya, keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut di atas dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau mana-mana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan.

"Pengikut GISBH sesat apabila meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh al-Arqam yang sudah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.

"Pengikut GISBH juga mempercayai bahawa Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Asmadi memaklumkan sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.

Beliau berkata, semua pihak berkuasa termasuk agensi berkaitan bekerjasama bagi merangka dan melaksanakan pemulihan serta pemantaun pengikut GISBH.

Artikel Berkaitan:

"Semua perkara itu perlu dilakukan dengan kerjasama membabitkan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan pelbagai lain," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!