Napoli lebarkan status pendahulu Serie A
NAPOLI melebarkan status pendahulu Serie A Itali dengan kelebihan empat mata ke atas pesaing terdekat Juventus yang kurang satu perlawanan selepas menang 3-1 ke atas Como di Stadio Diego Armando Maradona.
Anak buah Antonio Conte memulakan gol di laman sendiri apabila Scott McTominay menginspirasikan jaringan bermula pada 26 saat sebelum dua gol dihadirkan Romelu Lukaku (m-56, penalti) dan David Neres (m-56).
Sementara itu, Gabriel Strefezza menjaringkan gol sagu hati buat skuad kendalian Cesc Fabregas yang kini di kedudukan ke-11 liga dengan lapan mata hasil dua menang, dua seri, tiga tewas.
Sebagai rekod, kali terakhir The Little Donkeys tewas saingan Serie A adalah kekalahan 0-3 kepada Verona semasa kunjungan ke Marcantonio Bentegodi pada 19 Ogos lalu.
Sementara itu, Lukaku, yang menjaringkan tiga gol dan empat bantuan gol dalam lima perlawanan untuk Napoli, mengakui permainan dalam perlawanan tersebut jauh dari sempurna.
"Sejujurnya kami juga mempunyai deretan peluang semasa serangan balas dan boleh melakukan lebih baik lagi, kami perlu menilai semula situasi ini supaya bertambah baik pada masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!