Tengku Hassanal pelawa UAE sertai inisiatif selamatkan Harimau Malaya

Tengku Hassanal (kiri) dan Sheikh Khaled dalam pertemuan selama lebih satu jam yang berlangsung di Pejabat Majlis Eksekutif Abu Dhabi. Foto Kesultanan Pahang
Tengku Hassanal (kiri) dan Sheikh Khaled dalam pertemuan selama lebih satu jam yang berlangsung di Pejabat Majlis Eksekutif Abu Dhabi. Foto Kesultanan Pahang
A
A
A

KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan pertemuan khas dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed bagi memperkukuhkan kerjasama antara negeri ini dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kesultanan Pahang dalam kenyataan memaklumkan, pertemuan lebih satu jam yang berlangsung di Pejabat Majlis Eksekutif Abu Dhabi itu membincangkan beberapa perkara termasuk kerjasama dalam perkembangan pendidikan, pemuliharaan ekosistem dan spesies Harimau Malaya serta inisiatif pembangunan Islam.

Tengku Hassanal turut membincangkan projek pembangunan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan inisiatif Save The Malayan Tiger dengan mengundang UAE untuk bersama menjayakan usaha menyelamatkan spesis terancam itu.

"Tengku Hassanal menzahirkan ucapan penghargaan kepada Sheikh Khaled atas kerjasama yang akan memperkasakan institusi pendidikan di Pahang seperti Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH).

"Tuanku dan Putera Mahkota Abu Dhabi juga bertukar idea dan fikiran bagi kerjasama untuk pembangunan agama Islam antara UAE dan Negeri Pahang," kata kenyataan itu di Facebook pada Sabtu.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!