Warga emas hilang ditemukan maut dipercayai diserang gajah
HULU TERENGGANU - Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemukan meninggal dunia, dipercayai diserang oleh sekumpulan gajah liar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zulhisham Mohamad Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa, Musa Ahmad, 65, selepas keluar ke kebun jam 8.30 pagi.
"Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1 pagi pada Sabtu bagi mengesan mangsa.
"Sebaik menerima laporan sepasukan anggota bergerak sejauh 35 kilometer ke lokasi kejadian di Kampung Basung, di sini dan tiba kira-kira jam 1.34 pagi," katanya di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa berjaya dijumpai di sekitar kawasan kebun oleh orang awam pada jarak 50 meter dari jalan raya kira-kira jam 7 pagi tadi.
"Mangsa disyaki diserang oleh sekumpulan gajah liar dan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sebaik kami tiba di lokasi dan dihentikan kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu," ujarnya.
Menurutnya, seramai lapan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang terlibat dalam operasi itu dan pencarian mangsa ditamatkan kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!